PELAJAR wanita tidak ketinggalan menunjukkan kemahiran dalam penghasilan robot.

Sebanyak 21 pasukan daripada politeknik seluruh negara dan tiga universiti tempatan menyertai Pertandingan Persekutuan Persatuan Robot-Bola Sepak Antarabangsa (FIRA) - Piala Malaysia ke-9 di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, baru-baru ini.

Pertandingan seminggu itu disertai lebih 100 peserta yang bersaing dalam enam kategori iaitu Androsot, Hurocop, Mirosot, Robosot, Simurosot dan Mybot.

Seperti diramal Politeknik Port Dickson (PPD) muncul juara keseluruhan apabila berjaya meraih lima pingat emas, empat pingat perak dan tiga pingat gangsa.

Tempat kedua berpihak kepada Politeknik Ungku Omar (PUO) Perak yang mendapat empat emas, tiga perak dan tiga gangsa, sementara ketiga Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) Selangor menerima empat emas, tiga perak dan dua gangsa.

Pengarah PPD Mejar (K) Mohd Kharir Mohd Ibrahim berkata, pengalaman peserta dan persiapan pasukan secara berterusan menjadi faktor utama kejayaan membanggakan berpihak kepada politeknik itu.

Menurutnya, pada pertandingan kali ini, PPD hanya bersaing dalam empat kategori utama dan tanggungjawab itu digalas empat pelajar yang berjaya membuktikan kemahiran tinggi dimiliki.

“Saya tidak menyangka kejayaan berpihak kepada PPD walaupun menerima saingan sengit daripada pasukan Politeknik Ungku Omar.

“Kemenangan ini hasil usaha dan kerja berpasukan peserta yang membuat persiapan secara berterusan sejak tahun lalu.

“Kejayaan ini memberi peluang kepada pasukan PPD terpilih mewakili negara pada ke pertandingan FIRA Roboworld Cup 2016 di Teheran, Iran, “ katanya.

Beliau berkata, selepas mencatat keputusaan membanggakan pada pertandingan itu, tumpuan PPD selepas ini ialah mencatat kejayaan di pentas antarabangsa.

Mohd Kharir berkata, usaha PPD seterusnya ialah melahirkan lebih ramai pelajar mahir dalam bidang robotik yang akan memberi peluang kepada mereka mewakili PPD seterusnya membuka peluang pekerjaaan selepas menamatkan pengajian.

“Lebih banyak bantuan dan kemudahan akan diberikan kepada pelajar yang terbabit dalam bidang robot dalam usaha PPD meraih lebih banyak kejuaraan di pentas kebangsaan dan antarabangsa.

“Kerjasama pensyarah turut menjadi faktor utama kejayaan PPD pada pertandingan kali ini. Kesungguhan kedua-dua pihak mencetuskan kemenangan yang membanggakan,” katanya.

Majlis penutup pertandingan disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Datuk Mohlis Jaafar yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Sementara itu, Mohlis berkata, pertandingan itu bertujuan menyemai minat pelajar politeknik dalam bidang sains dan teknologi robotik yang kini makin berkembang.

“Diharapkan menerusi pertandingan ini negara tidak ketandusan individu mahir dan mampu menghasilkan robot yang memiliki pelbagai kemahiran seperti bermain bola sepak dan aktiviti lain.

“Kita ingin melihat robot yang sebelum ini terkenal di beberapa negara maju seperti Jepun dapat berkembang di negara ini dan ia dimonopoli sepenuhnya pelajar politeknik,” katanya. - Mohd Rafi Mamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 1:43 PM