SHAHRIL (kiri) bersama Pengerusi MyClear, Datuk Seri Halim Shafie (kanan) menyempurnakan gimik pelancaran program bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi KWSP, Datuk Mohd Naim Daruwish (dua kiri); Ketua Bahagian Jabatan Caruman KWSP, Azmi Awang (tengah) dan Pengarah Urusan MyClear, Peter Schiesser (dua kanan). FOTO Mohd Yusni Ariffin
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), melancarkan Program Transformasi Bayaran Caruman menerusi e-Caruman yang menampilkan sistem FPX.

Program itu adalah kerjasama antara KWSP dan Malaysian Electronic Clearing Corporation Sdn Bhd (MyClear), anak syarikat Bank Negara Malaysia yang mengendalikan sistem FPX.

Integrasi dengan sistem FPX membantu majikan membuat bayaran secara dalam talian terus dari portal e-Caruman dan aplikasi mudah alih tanpa apa-apa bayaran transaksi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, program itu adalah selaras dengan objektif KWSP untuk mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan di kaunter, mempercepatkan transaksi mudah alih dan meningkatkan pengalaman ketika berurusan dengan KWSP.

"Sejak ia diperkenalkan pada Januari 2013, kemudahan e-Caruman ini diterima baik oleh majikan dan sehingga September 2016, lebih daripada 95 peratus majikan menggunakan kemudahan ini setiap bulan.

"Memandangkan mereka sudah selesa menggunakan e-Caruman, kami menggesa majikan untuk mengambil satu langkah lagi dengan membuat pembayaran menggunakan kemudahan sistem FPX yang terkandung dalam sistem e-Caruman," katanya di majlis pelancaran Program Transformasi Bayaran Caruman KWSP di sini, hari ini.

Shahril berkata, adalah penting bagi majikan untuk mula menggunakan kemudahan e-Caruman kerana bermula 1 Januari 2017 semua transaksi majikan dengan KWSP akan dilakukan secara dalam talian dan KWSP akan menghentikan pengedaraan dan penggunaan Borang A (sistem manual untuk membuat bayaran).

Beliau berkata, majikan yang mempunyai kurang daripada 10 pekerja juga boleh memantau akaun mereka melalui aplikasi mudah alih i-Akaun Majikan yang diperkenalkan pada April tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 1:56 PM