NORHAZMI Mat Sari berucap pada Mesyuarat Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
NORHAZMI Mat Sari berucap pada Mesyuarat Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan menghantar notis kepada 59 kilang di Kawasan Perindustrian Nilai, hari ini, untuk melaksanakan Peraturan Pematuhan Kendiri (GSR) bertujuan menangani masalah pencemaran alam sekitar.

Pengarah JAS negeri, Norhazni Mat Sari berkata, pada peringkat awal pihaknya menumpukan kepada 14 kilang yang dikesan melepaskan sisa industri ke Sungai Buah dan Sungai Batang Benar, Dengkil dan mengalir ke Sungai Semenyih, Selangor.

Ia antara langkah diambil JAS untuk memastikan kilang mematuhi peraturan ditetapkan selepas insiden pencemaran di Sungai Buah sehingga menyebabkan penutupan sementara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, Jumaat lalu.

Menurutnya, walaupun siasatan melalui sampel air yang diambil di Kawasan Perindustrian Nilai menunjukkan bacaan normal dan bukan punca pencemaran itu, namun pihaknya tetap mengambil tindakan berterusan.

"Laporan GSR perlu dibuat setiap hari berdasarkan jenis operasi premis berkenaan mengikut peraturan yang ditetapkan JAS. Laporan itu perlu diserahkan kepada JAS secara berkala.

"Pengurusan kilang perlu memastikan laporan dibuat supaya apabila diminta, mereka boleh menyerahkannya untuk pemeriksaan JAS," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat JAS Negeri Sembilan bersama wakil pengurusan dan orang berwibawa bagi kilang di Nilai di Pejabat JAS di sini, hari ini.

Katanya, pelaksanaan GSR mampu meningkatkan pematuhan kilang terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974, sekali gus mengelakkan masalah pencemaran alam sekitar pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 3:32 PM