Wiese sewaktu menjalani latihan di Florida. FOTO WWE
Wiese sewaktu menjalani latihan di Florida. FOTO WWE
Agensi

Berlin: Selepas membentuk otot sebanyak 40kg (88lbs), bekas penjaga gol Jerman Tim Wiese akan membuat penampilan pertama dalam pertarungan gusti WWE Khamis ini.

Pertarungan itu disifatkannya sebagai 'Liga Juara Juara' arena gusti.

Pemain berusia 34 tahun itu membuat enam penampilan terakhirnya pada perlawanan persahabatan untuk Jerman pada 2012 dan sebahagian daripada skuad Piala Dunia 2010.

Selepas menggantung butnya tiga tahun lalu dan meningkatkan susuk fizikalnya, Wiese tidak sabar lagi untuk beraksi pada pertarungan gusti profesional di Munich.

Dengan ketinggian 1.93m (6ft 4in) dan berat sekitar 130kg, Wiese bakal menjadi antara penggusti bertubuh sasa dalam World Wrestling Entertainment (WWE) selepas fizikalnya yang kini sudah berubah wajah.

Wiese menjalani sesi latihan dan diet termasuk mengambil daging sekilo setiap hari.

Dia mengikuti latihan di Orlando, Florida dan akan beraksi bersama pasukan "The Shining Stars" bersama bintang WWE, Cesaro dan Sheamus.

“Ini adalah Liga Juara Juara. WWE adalah perkara terbesar dalam gusti, jadi saya fokus sepenuhnya dan mahu menggabungkan segala gala ada di sekeliling saya," kata Wiese.

Wiese bagaimanapun masih belum ada nama samaran dan menjangka akan mendapat ejekan daripada penonton yang menjadi sebahagian daripada asam garam dalam pertarungan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 8:22 PM