Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid. FOTO arkib HM
Junaidi Ladjana dan Hazsyah Abd Rahman

Sandakan: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya mematahkan cubaan merompak bot tunda membawa muatan pasir di perairan Sandakan, berhampiran Pulau Berhala, dekat sini, petang tadi.

Komander ESSCOM Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, pusat kawalan ESSCOM menerima panggilan jam 6.30 petang daripada kru bot tunda yang mendakwa terdapat sebuah bot mengekori mereka dipercayai ada niat melakukan rompakan.

"Sebaik menerima pangilan kecemasan itu, beberapa bot pasukan keselamatan bergegas ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan.

"Ketika tiba, bot itu dipercayai sudah melarikan diri dan anggota keselamatan masih berusaha mengesan bot yang mencurigakan itu," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurutnya, semua kru bot tunda selamat dan tiada kejadian samun berlaku.

"Bot tunda membawa muatan pasir dari Tawau kini dalam perjalanan balik ke Sandakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 11:47 PM