ANTARA persembahan yang diadakan.
Nor Akmar Samudin


Terlakar kemeriahan pada acara pelancaran dan pembukaan Festival Antarabangsa Kesenian Orang Asli dan Peribumi (FAKOAP) di Stadium Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain masyarakat peribumi negara ini, ia turut menampilkan persembahan masyarakat berkenaan dari tiga negara jemputan iaitu Indonesia, Filipina dan India.

Penganjuran kali kedua itu atas usaha Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk memperkenalkan Kuala Lumpur sebagai Kota Budaya sekali gus meraih perhatian daripada pelancong tempatan dan luar negara.

Ketua Pengarah JKKN Tan Sri Norliza Rofli berkata, tarikan utama festival itu adalah keunikan budaya peribumi dari luar negara yang bergabung dengan Orang Asli di negara ini.

“Program ini mampu menarik pelancong dari seluruh dunia seperti Melbourne Indigenous Arts Festival (Australia), Darwin Aboriginal Art Fair (Australia) juga The Global Indigenous Peoples Performing Arts Festival (Taiwan).

“Festival ini memaparkan keunikan budaya masyarakat Orang Asli di dalam dan luar negara. Ia mewujudkan jaringan masyarakat Orang Asli serantau yang kukuh serta menjadi salah satu elemen tarikan pelancongan di negara ini di samping membantu membangun dan menyemarakkan kebudayaan masyarakat peribumi tempatan,” katanya.

FAKOAP yang diadakan selama empat hari itu mengandungi pengisian seperti Persembahan Utama (Persembahan Jemputan Negara).

Selain itu, program itu juga menjelajah ke tempat tumpuan utama pelancong melalui persembahan Sisipan (Showcase) di pusat beli-belah Suria KLCC, Sogo, NU Sentral dan Pasar Seni yang membabitkan persembahan negara dan kumpulan yang terpilih.

Turut membuat persembahan dalam program ini ialah penyanyi popular Zainal Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 5:01 AM