NASI lemak dikategorikan sebagai makanan muhibah.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Nasi lemak sudah menjadi lambang kemegahan negara malah makanan tradisional masyarakat Melayu ini turut menjadi pilihan popular sebagai menu sarapan tanpa mengira bangsa mahupun latar belakang.

Kini, nasi lemak tidak lagi terhad sebagai hida­ngan sarapan kerana ia boleh dinikmati sepanjang masa malah ada restoran yang menyajikannya hingga lewat malam.

Di sebalik keenakan dan aroma memikat, ia berjaya membuka selera semua untuk menikmati hidangan ini yang pada asasnya cuma menggunakan bahan ringkas iaitu nasi, sambal, telur, kacang, timun dan ikan bilis.

Keenakan nasi lemak akan lebih terasa sekiranya dibungkus menggunakan daun pisang. Kelainan nasi lemak hari ini terletak pada lauk tambahan mengikut cita rasa penggemar hidangan tradisional ini sama ada kerang sambal, paru, ayam berempah dan sebagainya.

Jadi tidak hairanlah jika nasi lemak terus menjadi pilihan sepanjang masa. Sehubungan itu FriedChillies Media Sdn Bhd, menganjurkan acara I Eat Nasi Lemak kali ke-3, bagi menghimpunkan penjual nasi lemak terbaik di seluruh negara di Pusat Konvensyen TM di Kuala Lumpur pada 5 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Friedchillies, Mohd Adly Rizal berkata, seramai 40 penjual nasi lemak dari sekitar Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Pulau Pinang dihimpunkan di bawah satu bumbung. Program itu diadakan untuk meraikan nasi lemak yang dikategorikan sebagai makanan muhibah bagi masyarakat di negara ini.

Malah menurutnya, peniaga yang mengambil bahagian adalah di antara mereka yang dipilih khas melalui proses teratur dan ketat oleh pakar dan peminat tegar nasi lemak di laman web FriedChillies sejak awal 2016.

“Pada 2013 kami bermula dengan 10 peniaga dan angka ini meningkat ke 20 peniaga pada 2014. Tahun kedua mencatat rekod sebagai acara berbentuk makanan tanpa henti selama lapan jam terus menerus dan berjaya menarik lebih 15,000 peminat nasi lemak. Acara itu menyediakan 25,000 pinggan nasi lemak termasuk lauk-pauk.

“Peningkatan jumlah peniaga pada tahun ini membuktikan betapa popularnya juadah kebangsaan ini. Ia juga cara untuk kita menghormati peniaga nasi lemak yang saban hari bertungkus-lumus menyediakan hanya yang terbaik untuk pelanggan mereka,” katanya.

Tahun ini, badan kebajikan yang disokong oleh I Eat Nasi Lemak adalah The Nasi Lemak Project (TNLP). TLNP ditubuhkan pada 2012 dan objektif utamanya membantu keluarga miskin dalam bandar untuk bekerja dan menyara keluarga dengan berniaga nasi lemak.

Menurut Adly, idea sesebuah keluarga yang menghadapi masalah kewangan dapat keluar dari kedaifan melalui kerja keras dan kuasa nasi lemak yang dijualnya adalah idea menarik dan memberi impak besar.

Katanya, TLNP menganjurkan latihan pengurusan makanan dan perniagaan mikro asas yang dapat menggandakan pendapatan keluarga kurang berkemampuan.

I Eat Nasi Lemak akan mengekalkan sistem kupon di mana pengunjung boleh membeli kupon dan menukarnya untuk pembelian nasi lemak, lauk-pauk dan minuman. Buku kupon boleh dibeli awal dengan menghubungi friedchillies.com atau pada hari acara berlangsung.

Antara pengusaha nasi lemak dari luar Kuala Lumpur yang perlu diberi perhatian kali ini adalah Nasi Lemak Ujong Pasir dari Melaka, Nasi Lemak Habib dari Batu Pahat (khusus di dalam penyediaan nasi lemak sup tauhu), Nasi Lemak Wak Kentut dari Kulai yang terkenal dengan ayam gorengnya, Nasi Lemak Cik Pah Corner dari Batang Berjuntai dan Nasi Lemak Pendekar Mustar dari Pulau Pinang.

Turut serta, pengusaha Nasi Lemak Village Park dan Nasi Lemak Tanglin selain pengusaha baru sekitar Lembah Klang yang dicadangkan sendiri pembaca dan peminat laman friedchillies.com. Ini termasuk Nasi Lemak Sinarnor, Nasi Lemak EK dan Nasi Lemak Lesung Batu yang semuanya tampil de­ngan rasa unik dan tersendiri.

Dalam pada itu, pertandingan makan nasi lemak seperti yang dianjurkan pada tahun sebelum ini dengan kategori sambal terpedas dan makan terpantas juga akan menemui pe­ngunjung dan terbuka untuk penyertaan awam.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu boleh me­ngunjungi laman web www.friedchillies.com atau menerusi laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter friedchillies.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 5:22 AM