LATIHAN yang mendidik pelajar menghargai alam sekitar.
SUASANA mesra alam yang selesa untuk pelajar.
MURID didedahkan dengan alam sekitar sebagai satu proses pembelajaran.
PEMBELAJARAN di luar kelas menarik pembabitan murid sepenuhnya.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Pertama kali melangkah kaki ke Sekolah Antarabangsa Idrissi seperti kejutan budaya buat penulis. Mana tidaknya, tepat jam 10 pagi, murid di sekolah ini dilihat begitu gembira melakukan aktiviti menanam pokok sambil diberi penerangan oleh pengetuanya, Adam Tested.

Ada sekumpulan murid melakukan aktiviti lompat tali, ada juga yang memberi makan kepada kambing dan ayam. Tidak lama selepas itu, kelihatan pula sekumpulan murid lain melakukan sesi pembelajaran di luar kelas, betul-betul di jambatan merentasi kolam ikan dan air pancut yang mendamaikan.

Pastinya suasana seperti itu kelihatan asing di mana-mana institusi pendidikan di negara ini, tapi tidak di sekolah itu.

Terpegun juga melihat suasana kondusif untuk sebuah sekolah yang tidak ubah seperti bersekolah di rumah dan pastinya pembelajaran menjadi lebih menyeronokkan bagi kanak-kanak ini.

Mengenali lebih dekat pengasasnya, Zaliza Alias, 43, menjelaskan, Idrissi memberi pelajarnya peluang untuk meneroka dunia, sama ada mengambil giliran menjaga tanaman dan haiwan ternakan di sekolah, bermain futsal atau mendaki dinding batu tertutup.

“Kurikulum ini termasuk program pengalaman tambahan yang aktiviti luar kelas adalah untuk pengalaman pembelajaran.

“Murid belajar dari kerja seharian yang dilakukan seperti pertanian, mengitar semula bahan buangan, pengkomposan dan penjagaan alam sekitar.

“Daripada tugas yang paling mudah seperti kitar semula sisa kepada yang lebih rumit contohnya mencipta peranti pertanian yang berguna menggunakan bahan buangan semuanya dilakukan di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman. Semua aktiviti ini memperkayakan pengalaman murid,” katanya.

Selain sekolah rendah, Idrissi turut menawarkan pembelajaran peringkat menengah dan kedua-duanya sekolah pertama di Malaysia dan dunia berkonsepkan Eko-Islamik yang menekankan kefahaman untuk mengaitkan setiap pembelajaran dengan alam sekitar sebagai hamba Allah yang bertanggungjawab menjaga ciptaan-Nya.

Mula dibuka pada Januari 2015 di Setia Alam, Zaliza berkata, kali pertama beroperasi mereka menerima lebih 50 orang murid yang mendaftar dan selepas setahun, pendaftaran meningkat kepada 300 murid sekolah rendah dan menengah.

Pendidikan praktikal

Seperti sekolah antarabangsa lain, sistem pembelajaran yang ditawarkan sekolah itu adalah mengikut sukatan pelajaran Cambridge International United Kingdom.

Lebih menarik katanya, konsep sekolah mesra alam itu turut mendidik murid dan pelajar agar mengamalkan ilmu bukan saja untuk lulus peperiksaan sebaliknya memberi penekanan terhadap sumbangan yang boleh diberikan melalui ilmu yang dipelajari.

“Kelainan yang kami tonjolkan ini kerana menyedari untuk menghasilkan generasi masa depan, kita tidak boleh lagi bergerak dalam rangka pembelajaran yang sama, iaitu guru di depan kelas dan murid duduk di kerusi dan meja.

“Hakikatnya kita bukan belajar komunikasi dengan duduk di kerusi dan meja saja, di dunia sebenar kita bergerak dan berkomunikasi dengan alam di sekeliling. Itu yang kami ingin bawakan di Idrissi.

“Di peringkat sekolah menengah pula, kami ketengahkan pendidikan untuk awal dewasa. Kami tidak melihat mereka sebagai remaja. Malah pelajar ini juga tidak dipanggil remaja kerana kami mahu mereka dilayan seperti orang dewasa.

“Oleh itu, kami beri mereka peluang lakukan semua perkara sendiri, perlu bertanggungjawab dan ambil peranan. Kalau kami adakan Hari Terbuka misalnya, kami beri pelajar ini uruskan dari awal, rancang dan jayakan sendiri.

“Sebab itu, mereka diberi tanggungjawab untuk membuka kafe sendiri di sekolah apabila segala pelan perniagaan diuruskan dari mula hingga akhir. Di sinilah kami didik mereka untuk mempraktikkan apa dipelajari dan apa yang boleh disumbangkan,” katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata ini berkata, matlamat pembelajaran sebenar tidak tercapai sekiranya cuma ada pendidikan sehala iaitu guru mengajar, pelajar menghafal untuk peperiksaan sedangkan pendidikan membabitkan komunikasi dua hala, ada input dan output yang akhirnya memberi impak kepada orang lain.

“Di akhirat nanti, kita akan disoal bagaimana manfaatkan ilmu yang dipelajari. Kita ada masalah itu dalam pendidikan zaman ini, ilmu dipelajari dan digunakan untuk peperiksaan serta mendapat keputusan yang baik.

“Kenapa kita tidak hasilkan anak yang dapat menggunakan terus apa yang mereka pelajari serta bagaimana ilmu itu boleh memberi sumbangan,” katanya.

Kesan hormati alam sekitar

Katanya, kekurangan orang Islam yang terbabit dalam program melestarikan alam sekitar membuatkan beliau terpanggil untuk memberi pendedahan ini kepada kanak-kanak kerana ia juga sebahagian daripada pendidikan yang penting buat mereka.

Bermula dengan menghormati alam sekitar, secara tidak langsung membentuk sahsiah dan moral mereka.

Beliau berkata, Idrissi adalah sekolah Eko-Islamik pertama di dunia yang berdaftar di bawah World Wild Federation (WWF) iaitu sebuah organisasi alam sekitar.

Tidak hanya persekitaran sekolah mesra alam, mata pelajaran yang diajar juga mendidik pelajar mengenai kesedaran pentingnya menjaga alam sekitar. Bukan saja secara teori, malah pelajar dibawa membersihkan sungai, menanam semula pokok dan mengitar semula.

“Keistimewaan Idrissi tiada di sekolah lain. Kami tawarkan sistem pembelajaran yang mementingkan bahasa Inggeris dan pada masa sama memberi penekanan mengenai agama Islam. Yuran yang ditawarkan juga cukup berpatutan jika dibandingkan dengan sekolah lain. Boleh dikatakan, bayaran ini setimpal dengan kualiti pembelajaran dan kemudahan yang kami sediakan untuk murid.

“Semua bahan pembelajaran dihasilkan sendiri dengan kerjasama Organisasi Kurikulum Islam iaitu Al Madinah International University, Kurikulum Eko itu berdasarkan Australia Organic School, Taman Botani Negara, Landskap Malaysia dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka),” katanya.

Katanya, Idrissi menyediakan kurikulum Idrissi Islamia, Idrissi British National, Idrissi Eco-Muslim, Idrissi Meaningful Foreign Language, Idrissi Zheng He Mandarin serta Idrissi Bahasa Melayu dan Alam.

“Kurikulum Idrissi Islamia adalah kerjasama dengan ahli penasihat global dalam pembangunan Kurikulum Islam yang diluluskan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM). Terdapat lima perkara akan dipelajari iaitu Aqidah, Quran, Sirah, Ibadat dan Moral serta Adab.

“Subjek teras Idrissi adalah Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains,” katanya.

Beliau turut menyimpan hasrat untuk melihat semua ibu bapa memahami keperluan si anak dan membuang sikap terlalu memaksa serta membuat perbandingan dengan kanak-kanak lain.

Ini kerana katanya, perkembangan setiap anak tidak sama begitu juga kemahiran mereka. Jika sikap itu dapat diubah, pasti anak akan lebih gembira dan pembelajaran mereka akan menjadi lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 5:42 AM