RIFQI (kanan) bersama ibu dan rakannya.
RIFQI (kanan) bersama ibu dan rakannya.
MENGURUSKAN perniagaan katering milik keluarganya.
MENGURUSKAN perniagaan katering milik keluarganya.
Fatin Farhana Japre


Saat remaja lain habiskan masa senggang bersama rakan sebaya, Anis Hamizam Rifqi Mohd Azmanizam atau lebih mesra dipanggil Rifqi, 17, sibuk membantu menguruskan perniagaan katering milik keluarganya.

Sudah terbiasa membantu ibunya berniaga nasi lemak sejak usia sembilan tahun, Rifqi tidak kekok mengambil alih tugas menguruskan perniagaan katering dan Restoran Maggi Ketam Power di Puchong, Selangor sepanjang ketiadaan ibu bapanya apabila ke luar daerah.

“Pada usia 11 tahun, ibu dan ayah memulakan perniagaan katering dan saya dipertanggungjawabkan dari segi penyediaan lauk dan penyusunan meja makan untuk sesebuah majlis.

“Saya tidak pernah mengeluh walaupun tiada masa untuk keluar bersama rakan kerana sudah melihat sendiri kesusahan dan kepenatan ibu sejak kecil.

“Mungkin agak pelik mendengar anak lelaki mengupas bawang dan sebagainya tetapi saya sudah terbiasa apatah lagi sebagai anak sulung daripada empat beradik saya rasa bertanggungjawab.

“Lima tahun kemudian, ibu dan ayah berjaya membuka sebuah restoran bagi memudahkan kami memasak lauk-pauk untuk katering.

“Oleh itu, ibu tugaskan saya untuk mengambil pesanan pelanggan dan menjaga kaunter sehingga sekarang. Pada masa sama, saya turut membantu pekerja yang lain menghidang dan menghantar makanan,” katanya.

Rifqi berkata, memandangkan sudah mempunyai asas perniagaan dia bercadang melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dalam bidang kulinari.

“Saya memang minat memasak dan mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang kulinari untuk mempelbagaikan lebih banyak menu makanan di restoran milik keluarga. Lebih-lebih lagi ibu bakal membuka sebuah lagi cawangan Restoran Maggi Ketam Power untuk saya kendalikan,” kata anak kelahiran Terengganu ini.

Ketika ditanya adakah dia teringin untuk menjalani kehidupan seperti remaja lain yang bebas beriadah bersama rakan, Rifqi berkata dia lebih fokus untuk mengendalikan restoran dan katering milik keluarganya.

“Ada juga rakan yang ajak saya lepak tetapi saya tolak ajakan mereka secara baik. Bahkan saya mengajak mereka bekerja secara sambilan membantu menguruskan katering di majlis besar. Pada masa sama saya dapat meluangkan masa bersama mereka dan mereka pula boleh mendapat ‘duit poket’.

“Mungkin ramai tidak tahu menguruskan perniagaan katering dalam usia muda seperti saya sangat mencabar. Cabaran yang paling besar buat saya ialah kurang tidur apabila kami menerima tempahan untuk majlis yang membabitkan 4,000 tetamu. Saya pernah tidak tidur seharian untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

“Saya sangat berterima kasih kepada ibu bapa kerana mendidik untuk bangkit dari bawah dan sangat kagum dengan kesabaran mereka.

“Oleh itu, saya berharap dapat mengembangkan lagi perniagaan ibu dan mengajar adik-beradik selok-belok perniagaan memandangkan kami yang akan meneruskan legasi ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 6:08 AM