MURRAY mampu rampas gelaran nombor satu dunia daripada Djokovic jika ungguli Masters Paris.
MURRAY mampu rampas gelaran nombor satu dunia daripada Djokovic jika ungguli Masters Paris.

Paris: Andy Murray meneruskan kemaraannya untuk mendekati ranking nombor satu dunia dan memberi tekanan kepada Novak Djokovic dengan menjuarai Terbuka Vienna, kelmarin.

Pemain Scotland berusia 29 tahun itu menewaskan pemain Perancis, Jo-Wilfried Tsonga 6-3, 7-6 (8/6) pada perlawanan akhir bagi gelaran ketujuhnya tahun ini.

Juara Olimpik dan Wimbledon itu mampu merampas kedudukan nombor satu dunia daripada Djokovic jika menjuarai Masters Paris minggu ini manakala pemain Serbia itu gagal mara ke final.

Dia juga mampu merampas tangga teratas jika berjaya ke final dan Djokovic tewas sebelum perlawanan separuh akhir di ibu kota Perancis itu.

Murray mengumpul 15 kemenangan berturut-turut ketika ini yang turut membolehkannya merangkul gelaran Terbuka China dan Masters Shanghai.

Dia kini mempunyai 42 gelaran dan juga yang kedua dari Vienna selepas memenanginya pada 2014.

“Saya fikir saya menampilkan aksi tenis terbaik dalam kejohanan hari ini (semalam),” kata Murray, yang turut memuji semangat melawan Tsonga pada set kedua.

“Jo berjuang dengan baik dan mula mempamerkan peningkatan. Dia lebih agresif dan merebut beberapa peluang untuk melakukan pukulan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 6:36 AM