TIGA suspek hadir di Pejabat SPRM Kedah. FOTO Sharul Hafiz Zam
TIGA suspek hadir di Pejabat SPRM Kedah. FOTO Sharul Hafiz Zam
Norul Awatif Romli


Alor Setar: Dua kontraktor dan seorang pegawai Telekom Malaysia (TM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah bagi membantu siasatan kes berhubung tuntutan palsu bagi Projek Tebatan Banjir (RTB) berjumlah RM400,000, hari ini.

Ketiga-tiga individu terbabit berusia 30-an ditahan kira-kira 10 pagi tadi di Pejabat SPRM Alor Setar selepas diminta hadir bagi membantu siasatan.

Sumber SPRM negeri berkata, ketiga-tiga individu terbabit ditahan selepas risikan sejak sebulan lalu dijalankan menerusi Ops RTB berikutan hasil aduan orang awam berhubung berlaku penyelewengan dalam kerja-kerja projek RTB TM yang bernilai keseluruhan sebanyak RM 1.5 juta pada Julai lalu.

"Ketiga-tiga mereka disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda sebanyak lima kali nilai suapan.

"Kesemua mereka dibebaskan dengan ikat jamin selepas keterangan diambil," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad mengesahkan berhubung penahanan itu dan berkata siasatan lanjut mengenainya sedang dijalankan.

FOTO Sharul Hafiz Zam

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 1:39 PM