Anggota Kor Sempadan Pakistan memeriksa mayat militan yang terbunuh dalam operasi di Tirah.

Peshawar: Jet pejuang dan tentera darat Pakistan membunuh 77 militan termasuk seorang komander Uzbekistan di wilayah berhampiran sempadan Afghanistan, lima hari selepas tragedi pembunuhan besar-besaran di sebuah sekolah.

Menurut tentera, pertempuran darat menyebabkan 10 militan terbunuh manakala 17 lagi termasuk komander Uzbekistan terbabit maut dalam serangan udara lewat Khamis lalu, selain 32 yang terbunuh dalam serangan hendap tentera di lembah Tirah, Khyber, kelmarin.

Seramai 18 lagi terbunuh dalam operasi ‘mengepung dan memburu’ dilakukan di Khyber.

Di Baluchistan pula, pasukan keselamatan Pakistan membunuh seorang pemimpin kanan Taliban dan tujuh pengikutnya dalam tiga serangan awal pagi.

Sementara itu, Pendakwa Pakistan Abu Zar Peerzada berkata, pihaknya akan berusaha membatalkan jaminan terhadap suspek utama serangan pengganas di Mumbai pada 2008.

Keputusan membenarkan jaminan Zaki-ur-Rahman Lakhvi Khamis lalu oleh Mahkamah Antikeganasan menimbulkan kemarahan India yang mempertikaikan komitmen Pakistan memerangi keganasan.

Abu Zar berkata, dia akan membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi untuk membatalkan jaminan itu. Menurutnya, Zaki-ur-Rahman masih berada dalam tahanan.

Zaki-ur-Rahman seorang daripada tujuh yang masih dibicarakan dalam prosiding tertutup di Pakistan berhubung serangan besar-besaran di Mumbai pada 2008.

Tragedi di sekolah yang menyebabkan 148 kematian, kebanyakannya kanak-kanak menimbulkan kemarahan penduduk Pakistan yang mendesak tindakan lebih keras diambil terhadap militan.

Sementara itu, ketua tentera Jeneral Raheel Sharif turut menandatangani waran mati enam “pengganas tegar” yang disabitkan dan dihukum mati oleh mahkamah tentera.

Ini berikutan Perdana Menteri Nawaz Sharif membatalkan penangguhan hukuman mati dalam kes berkaitan keganasan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:04 AM