Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Kanak-kanak mengalami sawan manakala seorang wanita sesak nafas apabila lif yang dinaiki bersama sembilan yang lain terkandas di tingkat empat kuaters penjawat awam Blok CB, Presint 8, di sini semalam.

Ketua Balai Bomba Putrajaya, Muhamad Hafidz Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.50 malam dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian dengan kekuatan enam anggota.

"Apabila sampai, kami bergegas ke tingkat empat dan mendapati 11 mangsa terperangkap dan dua daripada mangsa mengalami sawan serta sesak nafas.

"Kita terpaksa membuka pintu lif berkenaan dengan mengumpil pintu lif menggunakan tuil besi kerana kunci lif tidak boleh digunakan," katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.

Difahamkan, semua mangsa terperangkap di dalam lif itu hampir setengah jam, selain faktor ruang di dalamnya yang sempit akibat ramai penumpamg.

Muhamad Hafidz berkata, pihaknya berjaya mengeluarkan semua mangsa dan diserahkan kepada anggota perubatan yang sedia menunggu untuk menerima rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 8:16 PM
ANGGOTA bomba membuka pintu lif untuk menyelamatkan penduduk yang terkandas. FOTO ihsan pembaca