MUSTAPHA bersama Tan Sri Jins Shamsuddin.
MUSTAPHA ketika bujang bersama Salleh dan Ahmad Mahmood.
JENAZAH Mustapha disemadi bersebelahan isterinya.
Oleh Adam Salleh


Ada kata dua, tidak kurang kata tiga, namun ketika bersiaran secara langsung di Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 bagi mengenang Datuk Mustapha Maarof, terkait seniman itu pernah berkahwin empat kali.

Bagaimanapun, seniwati Salmah Ahmad yang menjadi tetamu mencelah perlahan, “eh, tigalah.” Ketika hayat dikandung badan, Mustapha perahsia perihal soal peribadi untuk dikongsi dengan masyarakat umum.

Ratusan catatan di akhbar dan majalah, umum hanya mengetahui beliau pernah berkahwin dengan Suraya Haron dan Roseyatimah.

Bibit-bibit percintaannya dengan Roseyatimah mula berputik ketika kedua-duanya membintangi filem Sri Mersing.

Hal ini diperincikan Datuk Rosnani Jamil yang memegang watak Sri Mersing apabila melihat kemesraan Mustapha yang memegang watak Deli dan Roseyatimah yang menjadi Siti Payong ketika menjalani penggambaran filem terbitan Cathay Keris Filem itu di Mersing.

“Sementara menunggu ‘shooting’, kami suka ke pantai melihat nelayan membawa balik hasil tangkapan. Nampaklah riak-riak mesra Mus dan Rose apabila mereka kelihatan ceria menangkap ikan kecil. Ikan itu dibawa pulang untuk kami masak,” kata Rosnani.

Namun tidak semudah itu Mustapha dapat mencuri hati Roseyatimah. Sebagai anak tung–gal pasangan penyanyi terkenal Jasni Ahmad dan seniwati Neng Yatimah, semestinya Roseyatimah ditatang bagai minyak yang penuh.

Bukan tidak ada pihak istana ‘menaruh hati’ pada Roseyatimah, sementara latar Mustapha yang melalui pahit getir dalam perkahwinan sedikit sebanyak menggusarkan Jasni dan Neng.

Tidak dapat sesiapa mengekang suratan jodoh Mustapha dan Roseyatimah apabila akhirnya disatukan sebagai suami isteri. Kesetiaan Mustapha pada isterinya jelas apabila pintu hatinya bagaikan dikunci untuk menerima wanita lain selepas kematian Roseyatimah dalam usia 44.

Usia Mustapha ketika itu sekitar 52 tahun, masih bertenaga sebagai lelaki dan bukan tiada rakan artis cuba menjadi ‘orang tengah’ mencarikan jodoh termasuk dengan penyanyi terkenal, tetapi Mustapha menolak kerana menghormati anaknya.

Anak sulungnya bersama Roseyatimah, Azlynn ketika itu berusia 19 tahun, sementara anak lelaki Rezainuddin hanya 11 tahun. Anak bersama Suraya pula Suzlinna berusia 25 tahun. Bukan mudah menjadi bapa tunggal ketika anak dara dan bujang baru menginjak remaja.

Bagi mengelak rasa sunyi, Mustapha tidak mensia-siakan hidupnya dengan mencurah bakti dalam pelbagai persatuan berkaitan seni di tanah air, antaranya pembabitannya selaku Setiausaha Kehormat Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (sejak 1997), Ahli Jawatankuasa Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (sejak 1976), Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia(1994-2006), Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Jun 2003-2009), Presiden Persatuan Gabungan Karyawan Filem Malaysia/Gafim (2005-2008), Ahli Persatuan Sutradara Malaysia dan Ahli Lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional/Finas (2005-2009).

Ketika ditemui di pejabatnya di Warna Motion Picture & Marketing Sdn Bhd di Jalan Sentul, Kuala Lumpur selepas beberapa hari dilantik menjadi Presiden Seniman, Mustapha mengakui tidak beria-ria mahu menjawat jawatan itu.

Seniman ketika itu dilanda pelbagai isu dan kontroversi seperti tabung persatuan yang kering dan kes VCD lucah membabitkan artis wanita.

“Saya bukan beria-ria sangat mahu jawatan presiden tetapi melihat ia sebagai tanggungjawab. Pada masa sama, Seniman menjadi harapan besar ahlinya dan ini yang perlu saya rangka supaya Seniman menepati kehendak kita.

“Saya terharu di atas kepercayaan diberi dan rasa bersalah jika Seniman terbiar begitu saja,” katanya.

Apa dikata dikota, begitulah Mustapha memikul amanah kerana dalam tempoh singkat melalui hubungan baik beliau dengan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ketika itu, Datuk Seri Dr Rais Yatim, tabung Seniman diisi mencecah RM1 juta.

Lebih membanggakan, rata-rata mantan Presiden Seniman sejak era Datuk Baharuddin Omar (Anjang Aki), Datuk Aziz Singah, Datuk Ismail Hudson dan Abu Bakar Kassim ‘berbuih mulut’ mahu kerajaan mengiktiraf sehari sebagai Hari Seniman.

Ketika Hari Perhimpunan Seniman pertama pada 22 dan 23 Februari 1992 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Ghafar Baba (Allahyarham), Ketua Pengarah Finas ketika itu, Datuk Zain Hamzah bukan sekadar memberi sokongan tetapi berkobar-kobar mahu kerajaan mengiktiraf Hari Seniman sebagai penghargaan buat seniman tanah air, malangnya tidak dihiraukan kerajaan.

Takdirnya era Mustapha menjadi Presiden Seniman, kabinet bersetuju 29 Mei setiap tahun bermula 2008 diiktiraf sebagai Hari Seniman. Pengisytiharan itu diumumkan oleh Rais pada 26 Oktober 2007 dan disambut dengan rasa bangga buat seniman tanah air.

Memetik buku Jejak Terbilang karya Aimi Jarr, bakat lakonan Mustapha mula diuji dalam filem Bunga Percintaan pada 1953 di samping Mislia, kemudian disusuli Insaf, Mega Mendung, Pertaruhan, Duka Nestapa, Dondang Sayang, Hang Tuah, Pontianak, Dendam Pontianak, Yatim Mustapha, Mata dan Hati dan Sultan Mahmud Mangkat DiJulang.

Majoriti watak Mustapha di Cathay Keris Filem di Singapura hanya pembantu di samping heronya Nordin Ahmad kecuali Bawang Putih Bawang Merah. Namun perpindahannya ke Studio Merdeka di Hulu Klang, pengarah L Krishnan (Tan Sri) dan Salleh Ghani memberi kepercayaan padanya mendokong watak utama seperti dalam filem Ibu Ayam, Keris Sempena Riau, Siti Payong dan Anak Manja.

Mengait Mustapha, penulis beruntung kerana dapat menilai daripada sisi kewartawanan dan kekeluargaan. Hubungan baik Mustapha dengan ayah penulis bermula sejak mereka tinggal bujang di Singapura. Sesekali mengungkit cerita lama timbul juga kelucuan mengenangkan bagaimana Mustapha meminta Salleh berpura-pura berborak dengan seorang tauke kedai barangan runcit kerana dia mahu mengambil sebuku sabun percuma. Dalam melayani wartawan pula, Mustapha lebih senang berhemah daripada beremosi.

Bukan tiada artikel penulis yang menyinggung perasaannya, namun setiap kali bertemu di majlis, Mustapha tidak mengungkit apa yang ditulis. Sememangnya jolokan ‘seniman budiman’ sesuai diberi kepada Mustapha yang tidak pernah meninggi suara dengan sesiapa.

Hakikatnya, jika peminat dan keluarga terkesan di sebalik kepergian Mustapha, pembantu peribadinya, Rita Mary Gasper, apatah lagi. Mary yang mulai berkhidmat dengan Mustapha sejak seniman itu menjadi Pengurus Besar di Gaya Film pada 1975 sebelum menubuhkan Warna Motion pada 15 Februari 1982 menyifatkan ketuanya sangat dedikasi dan komited pada pekerjaannya.

“Lebih 30 tahun bekerja dengan Datuk, tidak pernah saya dengar beliau meninggi suara. Saya tidak nampak beliau mencampur aduk urusan keluarga dengan pekerjaan. Saya hanya melihat sekali atau dua kali isterinya (Roseyatimah) datang ke pejabat,” katanya.

Demi keluarga, Mustapha pernah berkata pada penulis: “Sebagaimana sibuk, makan bersama adalah ibadah terbaik pada saya. Di meja makan, selain memupuk ukhuwah sesama keluarga, jika dihalusi ia membentuk jiwa kita untuk bersabar dan bertolak ansur.

“Lauk semangkuk kita kongsi bersama. Yang muda biasanya dulukan yang tua. Saya amalkan budaya ini sejak beristeri. Sebab itu, seboleh-bolehnya saya mahu menikmati hidangan bersama anak dan cucu saya,” katanya.

Disember bagaikan bulan yang sarat dengan suka duka buat keluarga Mustapha. Tanggal 14 Disember 1947, ayahnya Maarof Zakaria ditemui mati tergantung di antara Jalan Gombak-Bentong ketika usia Mustapha 12 tahun. Disedari atau tidak, 14 Disember 1966 adalah detik Mustapha bertemu jodoh dengan Roseyatimah, namun selang 21 tahun kemudian pada tarikh sama, isterinya meninggalkannya buat selama-lamanya.

Tanggal 15 Disember 2014 pula, Mustapha menghembuskan nafas terakhir bagi menyusuli isteri yang dikasihi di alam baqa.

Fitrah dijanjikan Tuhan memang tiada siapa tahu, namun yang pasti Mustapha dan Roseyatimah mewarnai persada seni tanah air kita dengan hemah dan santun tersendiri sebagai suami isteri, yang boleh dijadikan inspirasi buat pasangan artis generasi baru.

Sepatah kata anak mereka, Azlynna: “Saya kagum dengan mereka berdua. Cinta setia arwah mama dan papa memang hebat. Kami adik beradik dan cucu hanya dapat menitipkan doa semoga roh ibu bapa kami tenang di sana, insya-Allah.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:05 AM