X

Paris: Andy Murray (gambar) akan bertemu Fernando Verdasco pada perlawanan pertamanya di Masters Paris selepas pemain Sepanyol itu mara berikutan kecederaan pemain Belanda, Robin Haase, kelmarin.

Verdasco, bekas pemain nombor tujuh dunia, mendahului 6-2, 3-2 sebelum kecederaan pinggul memaksa Haase menarik diri daripada aksi pusingan pertama itu.

Murray, pemain nombor dua dunia, boleh merampas kedudukan Novak Djokovic di puncak ranking dengan kemenangan di ibu negara Perancis itu jika pemain Serbia itu gagal ke final, atau jika pemain Britain itu mara ke final dan Djokovic tersingkir sebelum separuh akhir.

Bekas naib juara Terbuka Australia, Marcos Baghdatis mengalahkan pemain wildcard Perancis, Paul-Henri Mathieu 6-2, 6-4 manakala Benoit Paire kalah 4-6, 6-7 (4/7) kepada Paolo Lorenzi.

Pablo Carreno Busta, yang menewaskan Fabio Fognini untuk menjulang Piala Kremlin di Moscow seminggu lalu, mencetus satu lagi kekalahan buat pemain Itali itu di Paris apabila menang 6-3, 6-1.

Djokovic berdepan sama ada Nicolas Almagro atau Gilles Muller selepas mendapat bye pada pusingan pertama, manakala juara Terbuka AS Stanislas Wawrinka memulakan kempen menentang pemain Jerman, Jan-Lennard Struff, yang membenam Illya Marchenko 6-1, 6-1.

Tomas Berdych berada di kedudukan kesembilan dalam Race to London dengan pemain Czech itu perlu layak ke separuh akhir untuk menghidupkan peluang beraksi pada kejohanan penamat musim bulan depan.

Dia ketinggalan di belakang Dominic Thiem dan Marin Cilic, pemenang di Basel hujung minggu lalu, dalam perebutan dua tempat terakhir dan perlu menundukkan pemain Portugal, Joao Sousa untuk terus bersaing. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 10:14 AM