MOHAMAD Hasan pada sidang media mesyuarat Exco di Wisma Negeri. FOTO Hazreen Mohamad
Mohd Helmi Irwandi Mohd Noor


Seremban: Operasi pembenihan awan mula dilakukan di tiga daerah, esok bagi meningkatkan paras air sungai dan empangan sekali gus mengelakkan catuan bekalan air di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tiga daerah terbabit adalah Kuala Pilah, Jelebu dan Jempol dengan operasi dijalankan membabitkan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).

"JMM akan melaksanakan enam pembenihan awan di daerah Kuala Pilah, Jelebu dan Jempol bagi membolehkan hujan terhasil di kawasan hulu.

"Keadaan cuaca dan awan ketika ini amat sesuai untuk proses berkenaan dan kita berharap akan mempercepatkan hujan di kawasan terbabit yang menjadi sumber air utama sungai dan empangan.

"Kerajaan negeri juga menangguhkan cadangan melaksanakan catuan air bagi membolehkan kita membuat penilaian semula selepas proses pembenihan awan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 4:51 PM