ONG (tiga dari kanan) bersama Pengerusi MATRADE, Datuk Noraini Ahmad (tiga dari kiri) memotong reben sebagai gimik pelancaran pada Malaysia Fashion Week 2016 di Kuala Lumpur, semalam.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) terus memberi tumpuan kepada sektor baru yang berpotensi untuk menggalakkan eksport negara terutama membabitkan industri gaya hidup dan fesyen.

Setakat lapan bulan pertama 2016, perdagangan kedua-dua industri berkenaan meningkat 5.3 peratus kepada RM24.7 bilion berbanding RM23.51 bilion dalam tempoh sama tahun lalu dan ia juga adalah salah satu industri yang menyokong kepada pertumbuhan dagangan Malaysia sebanyak satu peratus kepada RM1.5 trilion yang diunjurkan menjelang akhir 2016.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, walaupun sektor pembuatan dan komoditi menjadi teras dan tradisi dalam perkembangan perdagangan negara tetapi industri gaya hidup dan fesyen mempunyai potensi baik kepada Malaysia pada masa depan bersandarkan kepada pertumbuhan positif yang ditunjukkan setiap tahun.

Beliau berkata, kedua-dua industri itu juga menjana kepada pertumbuhan bakat kreatif dalam kalangan generasi muda, sekali gus membantu meningkatkan peluang pekerjaan serta bidang keusahawanan tempatan.

“Produk dalam industri gaya hidup dan fesyen juga mendapat permintaan dari pasaran asing seperti Amerika Syarikat, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Australia, China, Turki, Indonesia dan Vietnam.

“Selain itu, kita juga menggalakkan lebih banyak pemain eksport di dalam industri ini menjadikan e-Dagang sebagai platform perdagangan mereka kerana ia memberi manfaat lebih besar kepada pertumbuhan perniagaan dan ekonomi negara,” katanya selepas merasmikan Minggu Fesyen Malaysia 2016 (MFW 2016) di sini, semalam.

MFW 2016 berlangsung di MATRADE Exhibition & Convention Centre, Kuala Lumpur dari 2 hingga 5 November ini adalah acara tahunan perdagangan fesyen dan gaya hidup terbesar Malaysia dianjurkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bersama STYLO International.

MFW 2016 memfokuskan kepada enam teras utama iaitu seni dan kraf tangan, kecantikan rambut dan kosmetik, gaya hidup dan hiasan dalaman, tekstil dan periferal, fasyen pakaian dan aksesori dan barang kemas.

Acara itu menyediakan lebih 300 ruang pameran kepada peserta pameran tempatan dan antarabangsa dari 16 negara antaranya Jepun, Korea Selatan, United Kingdom, Hong Kong, Australia dan Turki bagi meningkatkan prestasi Malaysia sebagai pusat fesyen di rantau ini.

Selain itu, ia juga memberi peluang kepada pereka serta usahawan tempatan untuk menunjukkan hasil kerja mereka menerusi pentas peragaan antaranya pertunjukan fasyen daripada usahawan muda MARA pada Jumaat ini.

Ong berkata, jumlah perdagangan kedua-dua industri itu dijangka tumbuh sekitar 10 peratus setahun dan ia dilihat sebagai realistik dengan acara tahunan MFW dan juga pelaksaaan program keusahawanan fasyen serta gaya hidup dalam kalangan golongan muda Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 10:53 AM