Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersalaman dengan rakyat jelata selepas berkenan berangkat ke Program Himpunan Bangsa Johor di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang hari ini.
BERNAMA

Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mahu bangunan Hospital Sultanah Aminah (HSA) dikembalikan kepada reka bentuk asal pada masa hadapan.

Baginda bertitah, bangunan hospital itu adalah bangunan warisan di Johor yang mempunyai banyak sejarah tetapi malangnya rupa bentuk bangunan banyak diubah suai dan penambahan dilakukan.

"Saya berharap bangunan ini akan dikembalikan kepada reka bentuk asal pada masa akan datang," titah baginda kepada kira-kira 3,000 rakyat yang menghadiri Majlis Himpunan Bangsa Johor di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, hari ini.

Justeru, baginda mahu kerajaan membina hospital baru yang lebih baik untuk memberikan perkhidmatan rawatan yang sempurna kepada rakyat.

Baginda turut merakamkan rasa dukacita dengan kebakaran yang meragut enam nyawa di HSA pada 25 Oktober lalu.

Meskipun dukacita dengan tragedi itu, baginda melahirkan rasa bangga kerana mempunyai rakyat yang bersatu dan berhati mulia.

"Banyak pihak tampil memberikan bantuan tenaga, makanan dan kemudahan untuk membantu mangsa," titah baginda yang turut memuji kerajaan Singapura menawarkan kemudahan hospital dan wad kepada pesakit memerlukan.

"Inilah semangat kerjasama dan bantu-membantu yang mesti kita pertahankan, bukan sahaja ketika waktu susah, malah ketika senang juga kita mesti bersatu," titah Sultan Ibrahim.

Dalam kebakaran itu, enam pesakit terkorban apabila kebakaran tercetus di Unit Rawatan Rapi, Tingkat 2, hospital berkenaan. Seorang pesakit dan tiga kakitangan HSA bagaimanapun berjaya diselamatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 11:21 PM