HAZIRAH (dua dari kanan) bersama dua rakannya melayan pelanggan.
Asrizal Aris
asrizal.aris@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Dalam keadaan ekonomi sekarang, berniaga adalah pilihan terbaik,” kata Hazirah Ramli, 20, usahawan muda nasi beriani yang sebelum ini berniaga buah potong dan rojak buah.

Hazirah mengakui mula berminat dalam bidang perniagaan sejak kanak-kanak lagi memandangkan latar belakang keluarganya majoriti menceburi dalam bidang itu.

“Melihat kepada ekonomi sekarang, susah untuk mendapatkan kerja. Kerja makan gaji pun hanya individu yang terbaik akan dipilih dan selebihnya terpaksa berlumba-lumba mendapatkan tempat.

“Dengan berniaga, kita dapat apa yang kita usahakan. Biarlah penat sekalipun, kepuasan itu akan menyusul selepas kita melihat hasilnya,” katanya ketika ditemui pada Karnival Keusahawanan Universiti Malaya (UM) - Johor Corporation (JCorp) 2016 di Dewan Tunku Canselor, UM, di sini, semalam.

Menurut Hazirah yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Perniagaan UiTM Puncak Alam, dia berjinak-jinak berniaga di karnival tertentu dan belum dapat menganggarkan pendapatan yang diperoleh kerana lebih menumpukan pada pelajaran.

Dia yakin dengan menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan pada permulaan mampu meluaskan kerjaya pada masa akan datang jika ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, selain meraikan ulang tahun UM yang ke-111, karnival keusahawanan yang diadakan bagi memupuk ilmu usahawan kepada pelajar tepat pada waktunya.

“Kami memang menekankan pembabitan aktif golongan muda dalam bidang usahawan terutama dalam kalangan pelajar supaya mereka boleh mencipta kerjaya dari sekarang.

“Sudah tiba masanya golongan muda tidak terus bergantung kepada kerajaan dalam menyediakan pekerjaan untuk mereka, tambahan pula peluang kerja di sektor kerajaan semakin terhad,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 8:49 AM