Manis melihat keadaan bumbung rumahnya yang dilanda ribut.FOTO Nur Syazwana Mansor
Manis melihat keadaan bumbung rumahnya yang dilanda ribut.FOTO Nur Syazwana Mansor
Nur Syazwana Mansor

Pendang: Suami isteri kerugian lebih RM10,000 selepas bumbung rumah mereka rosak teruk selain peralatan elektrik rosak terkena hujan akibat dilanda ribut di Kampung Baloh, di sini, semalam.

Dalam kejadian 5 petang, hujan lebat disertai ribut itu turut menyebabkan empat rumah penduduk lain di kampung terbabit rosak pada bahagian bumbung rumah masing-masing.

Manis Ibrahim, 43, berkata, ketika kejadian dia dan suaminya, Baharom Ahmad, 52, tiada di rumah kerana masing-masing keluar bekerja manakala tiga anak mereka yang berusia 14 hingga 20 tahun berada di rumah kakaknya yang terletak berdekatan rumah.

Menurutnya, ketika sedang bekerja sebagai tukang cuci di Kolej Matrikulasi Pendang,dia menerima panggilan telefon dari anak saudaranya yang memaklumkan bumbung rumah diterbangkan ribut.

"Saya cemas selepas diberitahu tentang hal itu lantas segera pulang ke rumah untuk melihat keadaannya.

"Sebaik tiba di rumah saya mendapati keseluruhan bumbung rumah iaitu bahagian ruang tamu dan bilikrosak dilanda ribut kecuali bumbung di bahagian dapur sahaja yang masih bertahan," katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Baloh, tadi.

Katanya, sejak 15 tahun mendiami rumah itu, ini adalah kali pertama bumbung rumahnya rosak dilanda ribut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 3:26 PM