CHONG menunjukkan antara barang yang dirampas. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan lima lelaki ahli Geng Jaya yang disyaki menjalankan kegitan curi kereta, samun dan ragut di sekitar ibu negara, Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, hasil risikan selama dua bulan terhadap geng berkenaan pihaknya menahan lima lelaki warga tempatan berusia lingkungan 19 hingga 40 tahun di sekitar Cheras, di sini pada 30 Oktober lalu.

"Kumpulan ini yang didalangi seorang lelaki dikenali sebagai Jaya, 39, dipercayai aktif menjalankan kegiatan jenayah itu sejak lima tahun lalu.

"Hasil tangkapan itu, kami merampas 10 kereta curi pelbagai model termasuk Proton Perdana dan Mercedes Benz, peralatan digunakan untuk mencuri kereta, kad pengenalan individu lain, dua bungkusan dadah jenis syabu serta ganja, selain wang palsu berjumlah RM500," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini hari ini.

Chong berkata, tiga ahli kumpulan itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan samun dan curi kenderaan.

"Ujian saringan air kencing juga mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis ganja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 3:48 PM