Michael tidak mahu buat episod khas drama itu.
Michelle Gun


Kuala Lumpur: Penerbit dan pengarah Suri Hati Mr Pilot, Michael Ang tidak merancang untuk membuat episod khas drama bersiri popular itu walaupun ia mendapat permintaan tinggi daripada peminat.

Michael berkata, drama 16 episod lakonan Neelofa dan Fattah Amin yang tamat semalam itu tidak perlu dipanjangkan lagi kerana ia tamat dengan ‘happy ending’.

"Ada peminat minta melanjutkan drama itu kepada beberapa episod dan membuat siaran khas dalam bentuk telefilem. Bagaimanapun saya tidak merancang untuk berbuat demikian kerana mengambil pengalaman daripada beberapa drama popular sebelum ini.

"Bagi saya, kisah yang berakhir dengan baik usah dirumitkan lagi," katanya.

Dalam pada itu, Michael juga belum mempunyai perancangan untuk menggandingkan Fattah dan Neelofa dalam drama arahannya selepas ini.

"Buat masa ini, saya belum fikir untuk gandingkan mereka lagi dalam mana-mana drama. Bagaimanapun, ada produksi menunjukkan minat untuk mengandingkan mereka, namun belum ada kata putus lagi," katanya.

Sementara itu, jurucakap Astro berkata Suri Hati Mr Pilot mencapai rating lebih tinggi berbanding drama bersiri Tuan Anas Mikael.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 7:26 PM