FARAH Haryani (enam dari kanan) bersama Siti Nurhaliza (tujuh dari kanan) bergambar bersama model selepas selesai acara pelancaran rangkaian sukan Ariani Active di Jakel Mall.
Siti Zarinah Sahib

Menggalakkan gaya hidup sihat serta aktif bersukan, Ariani memperkenalkan koleksi terkini pakaian sukan wanita menerusi Ariani Active, menghimpunkan padanan baju dan seluar bagi memberikan keselesaan kepada wanita terutama Muslimah.

Ariani Active oleh Galeri Ariani menghimpunkan enam koleksi hijab sukan istimewa merangkumi baju sukan Vittoria Inner Active, Gloria Inner Active, Derotta Inner Active, Foccasia Inner Active, Euphoria Inner Active dan Energia Inner Active. Semua koleksi hijab sukan ini dijual pada harga bermula RM59.

Melengkapi kehendak pelanggan yang inginkan padanan selesa, Ariani Active menggunakan material ringan namun menyerap peluh dan sejuk. Koleksi hijab sukan ini direka untuk kesesuaian aktiviti bersukan dengan menggunakan fabrik bermutu tinggi yang terletak sempurna di kepala serta menutupi paras bahu dan dada.

Ariani Active oleh Ariani RTW pula menampilkan himpunan koleksi pakaian sukan bermula daripada baju, seluar sehinggalah ke jaket. Sebanyak 27 rekaan diperkenalkan untuk edisi pertamanya. Semua koleksi ini direka mengikut keselesaan dan kesesuaian wanita khususnya mereka yang berhijab untuk bersukan menggunakan material yang tidak membalut bentuk badan dan labuh berbanding koleksi sukan sedia ada yang terdapat di pasaran.

Bersesuaian dengan konsep sedia dipakai, koleksi Ariani Active bersifat lebih minimal, bertenaga dan penuh nilai kesopanan. Ariani mentakrifkan koleksi Ariani Active sebagai bingkisan istimewa untuk pelanggan setianya dalam menjalani gaya hidup sihat dan bertenaga. Semua koleksi Ariani Active oleh Galeri Ariani boleh didapati di Galeri Ariani cawangan Kuala Lumpur, Bangi dan Shah Alam manakala koleksi Ariani Active oleh Ariani RTW boleh didapati di Butik Ariani RTW Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Koleksi pakaian sukan Ariani diperkenalkan sempena Larian Ariani Hijab 2016, iaitu larian terbesar dan pertama di Malaysia yang menghimpunkan 3,000 penyertaan daripada wanita berhijab.

Menurut Pengarah Pemasaran Ariani Textiles & Manufacturing (M) Sdn Bhd Datin Farah Haryani Muhammad Phillip, dia amat bersyukur atas kejayaan larian terbabit dan menganggapnya sesuatu yang benar-benar di luar jangkaan lebih-lebih lagi apabila menerima sambutan yang cukup menggalakkan daripada peserta dan juga pelanggan Ariani.

“Semoga larian seperti ini menjadi tradisi bagi Ariani untuk sama-sama menyuntik gaya hidup sihat dalam kalangan wanita Malaysia. Acara ini turut mencipta sejarah dengan pelancaran koleksi Ariani Active yang dipersembahkan dalam atmosfera penuh dinamik dan bertenaga dihadiri selebriti seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Fara Fauzana serta Duta Ariani Bella Dally.

Ariani tidak ketinggalan memberikan sumbangan kepada anak yatim dari Rumah Anak-Anak Yatim Darul Kifayah iaitu wang tunai dan tudung Ariani yang disampaikan Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel.

Ia turut memperkenalkan Ariani Online sebagai alternatif baru untuk pelanggan mendapatkan koleksi Ariani Active dengan cara lebih mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 5:02 AM