WARGA guru SMKBS bergambar kenangan bagi meraikan majlis persaraan Azizah.

Selepas berkhidmat dan menaburkan bakti sebagai guru lebih tiga dekad, Pengetua SMK Bukit Selambau (SMKBS), Sungai Petani, Kedah, Azizah Mohamed menamatkan kariernya dalam bidang pendidikan.

Majlis meraikan persaraan Azizah dilakukan dalam majlis gilang-gemilang sempena jamuan akhir tahun, baru-baru ini.

Majlis anjuran Kelab Guru dan Staf SMKBS itu bertemakan 'Malam Glamor 2014' menyaksikan Azizah, 55, menerima hadiah istimewa sebentuk cincin emas sebagai tanda ingatan ahli kelab itu.

Menurutnya, walaupun mahu meneruskan bakti sebagai guru, dia akur masanya sudah tiba untuk mengundur diri daripada bidang pendidikan.

"Menjadi guru adalah kenangan paling indah dalam hidup, apatah lagi menyaksikan kejayaan demi kejayaan diraih bekas pelajar.

"Bidang ini banyak memberi kepuasan serta pengalaman suka duka, namun saya tetap gembira bergelar guru.

"Diharap guru baru dapat memberikan perkhidmatan terbaik, sekali gus melahirkan pelajar yang boleh dibanggakan," katanya.

Azizah yang berkhidmat sebagai pengetua sekolah itu sejak 2012 berkata, dia bangga dengan kerjasama warga SMKBS hingga mampu melonjakkan nama sekolah itu sebagai juara kebangsaan Anugerah Seri Asrama Terbilang 2013.

"Saya gembira dan berterima kasih kepada warga sekolah kerana berjaya mengharumkan nama SMKBS.

"Ini satu pencapaian luar biasa dan berharap warga sekolah ini dapat meneruskan kejayaan diraih," katanya

Azizah memulakan karier sebagai guru Matematik di SMK Seri Tanjung, Kuala Selangor pada 1984 dan berpengalaman mengajar di beberapa sekolah lain sekitar Kuala Lumpur, Perlis, Perak, Pulau Pinang dan Kedah antara 1985 hingga 2011.

Sepanjang kariernya, dia yang memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak tiga kali di samping aktif sebagai pengerusi Persatuan Wanita Kastam daerah Sungai Petani.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 5:00 AM