DENDANGAN Tajul mengingatkan kepada alunan suara Allahyarham Achik.

Bagi mereka yang pertama kali mendengar lagu berjudul Sedalam Dalam Rindu dendangan penyanyi muda Tajul ini, tentunya ia akan mengembalikan memori lagu era 1990-an dan awal 2000.

Mana tidaknya, rentak muziknya memang berinspirasikan lagu popular waktu itu seperti daripada band Spin, Scoin dan Spoon.

Muzik pop rock yang boleh dikategorikan sebagai ‘rock leleh’ nampaknya kembali berkumandang dan mendapat permintaan, sekali gus terhasillah lagu ciptaan Alam ini.

Lebih menarik, penyanyi lagu Sedalam Dalam Rindu adalah adik kepada penyanyi Spin, Allahyarham Achik.

Sedikit sebanyak, lantunan suara Tajul mengubat kerinduan buat peminat setia Achik. Nada, cara penyampaian dan lenggok suaranya mengingatkan kepada cara alunan suara Achik dalam lagu popularnya sebelum ini.

Bercerita mengenai jalan cerita yang ingin disampaikan menerusi lagu ini, ia berkisar mengenai cinta dan kasih sayang bukan sahaja antara kekasih, tetapi keluarga yang sudah pergi.

Bagi Tajul, dia mendedikasikan Sedalam Dalam Rindu kepada arwah abangnya.

“Abang banyak menjadi inspirasi dan memberikan sokongan kepada saya semasa hayatnya. Lagu ini saya dedikasikan kepadanya,” katanya.

Walaupun baru beberapa minggu dimuat naik ke laman YouTube, video lirik lagu Sedalam Dalam Rindu berjaya menambat hati hampir dua juta penonton.

Bagi Tajul sendiri, dia ingin meneruskan perjuangan abangnya dalam melebarkan sayap sebagai penyanyi.

“Tentunya saya berazam meneruskan legasi muzik yang dimulakan abang,” katanya.

INFO:

LAGU : Sedalam Dalam Rindu

PENYANYI : Tajul

PENCIPTA : Alam

LIRIK : Bazil/Iwan

TERBITAN/EDARAN : FMC Music Sdn Bhd

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 12:20 PM