Dzulkifli berjanji terus menggempur gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) nekad terus menggempur gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa di negara ini.

Perkara itu dijanjikan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad kepada rakyat Malaysia termasuk ibu bapa, guru, anak muda, kakitangan awam, anggota penguat kuasa, pemimpin, masyarakat, hakim dan warga SPRM sempena 100 hari menyandang jawatan itu.

"Buat mereka yang masih mabuk dan lemas dalam suapan, dengarkan laungan ini buat sekian kalinya hentikan segala pengkhianatan yang berumbikan rasuah dan salah guna kuasa.

"Tunduk dan menyerahlah, jangan terus dangkal mendabik dada, kelak terancam nyawa dan raga, tersembam rebah ditimpa bala...Awas! Api perjuangan ini semakin hangat membara.

"Biar gugur melayang nyawa mempertahankan nusa, pastiku rempuh si durjana pengkhianat bangsa,” katanya ketika berucap pada majlis 100 Hari Ketua Pesuruhjaya SPRM, di sini, hari ini.

Pada 1 Ogos 2016, Dzulkifli dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang ditempatkan sebagai Pakar Perunding Integriti, Fakulti Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dzulkifli berkata, warga SPRM juga perlu terus berjuang, berkhidmat tanpa mengharap pujian dan balasan serta tanpa gentar memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 5:47 PM