ANNUAR kemuka surat peletakan jawatan selaku Presiden KAFA.
Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa meletakkan jawatan selaku pemimpin nombor satu badan induk bola sepak negeri itu berkuat kuasa serta-merta, semalam.

Surat peletakan jawatan yang agak ringkas bertarikh 8 November itu dihantar terus Annuar kepada Setiausaha Agung KAFA Datuk Ismail Md Noor di Wisma KAFA, Kubang Kerian.

Selain itu, Annuar turut memuat naik peletakan jawatannya itu pada laman sosial Facebook miliknya.

Dalam surat berkenaan, Annuar menjelaskan, beliau dengan berat hati meletakkan jawatannya sebagai Presiden KAFA berkuat kuasa serta-merta, tetapi pada masa sama tidak memaklumkan alasan kerana berbuat demikian.

“Saya berharap tugas (Presiden) itu dapat dipikul mereka yang lebih mampu untuk mengangkat semula kecemerlangan bola sepak Kelantan seperti dilakukan di negeri lain.

“Saya sentiasa yakin kami mampu mencapai apa yang orang lain capai asalkan anak Kelantan diberi peluang berbuat demikian,” katanya.

Salinan surat berkenaan turut ditujukan kepada Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin serta beberapa ahli jawatankuasa tertinggi KAFA seperti Timbalan Presiden Datuk Seri Afandi Hamzah; Naib Presiden Datuk Rosmadi Ismail; Datuk Nasir Hamzah dan Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz.

Annuar pernah membayangkan hasrat untuk melepaskan jawatannya, Jumaat lalu, sekali gus menyebabkan timbul pelbagai spekulasi termasuk bakal penggantinya.

Tokoh bola sepak Kelantan Rosmadi dan ahli perniagaan Datuk Ir Shaari Hassam adalah antara yang disebut-sebut untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Annuar.

Bagaimanapun, segala keputusan bergantung sepenuhnya kepada Kongres Mesyuarat Agung Tahunan KAFA yang dijangka berlangsung tahun depan.

Annuar mula menerajui badan induk bola sepak Kelantan sejak 2007 sebelum memartabatkan pasukan itu mucul juara Piala Malaysia 2010 dan 2012.

Gelombang ‘tsunami’ berterusan melanda pasukan Kelantan apabila ketua jurulatih Velizar Popov enggan menyambung kontrak disusuli penaja utama, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mahu menamatkan tajaan selain penghijrahan sebahagian pemain senior ke pasukan lain.

Sementara itu, Ismail ketika dihubungi mengesahkan ada menerima surat peletakan jawatan Annuar, namun enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kepada ahli jawatankuasa tertinggi KAFA untuk mengumumkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 10:07 AM