NEYMAR sumbat empat gol buat pertama kali untuk Brazil biarpun menghidap selesema apabila Selecao membelasah juara Asia, Jepun, 4-0, di Singapura, awal pagi ini.

Pemain berusia 22 tahun itu turut mempamerkan aksi terbaik selain kini memiliki 40 gol bersama skuad kebangsaannya menerusi 58 kemunculan.

Jaringan Neymar dihasilkan pada minit ke-18, 48, 77 dan 81 - menggunakan kedua-dua kakinya - sekali gus memberikan kemenangan keempat berturut-turut buat jurulatih baru, Dunga, tanpa lolos.

Perlawanan persahabatan itu diadakan di depan beribu penyokong dan peminat.

Sebelum itu, Brazil turut menumpaskan musuh tradisinya, Argentina, 2-0, di Beijing, pada pertemuan Sabtu lalu.

Selepas perlawanan berkenaan, Dunga memberitahu bahawa Neymar kini dilantik sebagai ketua pasukan.

"Neymar dapat selesema selepas perlawanan di China. Oleh itu, saya biarkan dia bebas bermain selepas jaringan pertama. Saya tidak menyakakan pula keadaan akan menjadi sebaliknya.

"Kini, dia adalah ketua pasukan iaitu watak utama dalam pasukan. Saya dapati dia amat serasi dengan tugas baru itu. Dia nampak gembira ketika bermain," kata Dunga.

Jurulatih Jepun, Javier Aguirre, pula menjelaskan bahawa Neymar - tidak bercakap dengan media - memang memberikan aksi terbaik.

"Ini adalah hari dia. Dia nampak begitu gembira sekarang," kata Aguirre.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 2:36 AM