Ravi Chandran (tengah) menunjukkan dadah jenis heroin ditemui ketika serbuan di rumah suspek di Bagan Seberang, Kuala Kurau pada sidang media di IPK Perak, Ipoh. FOTO MUHAIZAN YAHYA
Ravi Chandran (tengah) menunjukkan dadah jenis heroin ditemui ketika serbuan di rumah suspek di Bagan Seberang, Kuala Kurau pada sidang media di IPK Perak, Ipoh. FOTO MUHAIZAN YAHYA
Muhammad Apendy Issahak

 

[email protected]

Ipoh: Polis rampas pelbagai dadah termasuk 1.2 kilogram (kg) heroin dalam tiga serbuan berasingan di Kerian dan Bagan Serai, dekat sini semalam selain turut menemui sebutir bom mortar berukuran 60 milimeter (MM).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Asisten Komisioner V R Ravi Chandran berkata, serbuan yang dijalankan itu turut membawa kepada penangkapan tiga suspek termasuk seorang wanita.

Menurutnya, bom mortar berkenaan ditemui dalam serbuan pertama kira-kira jam 4.30 pagi di sebuah rumah di Bagan Seberang, Kuala Kurau dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 47 tahun serta rampas dadah heroin 1.2KG dan syabu 13 gram.

"Bom yang masih aktif itu ditemui dalam pasu di luar rumah yang diserbu itu dan Unit Pemusnah Bom terpaksa dipanggil untuk memusnahkan bom berkenaan dilokasi serbuan.

"Susulan tangkapan pertama itu polis menyerbu sebuah lagi rumah di Taman Seri Kurau jam 7.15 pagi dan menahan wanita berusia 25 tahun serta rampas dadah syabu seberat 97.77 gram.

"Kemudian polis serbu jam 8 pagi sebuah rumah di Jalan Siakap, Bagan Serai dan tangkap lelaki berusia 49 tahun serta rampas pelbagai dadah termasuk pil Eramin 5 sebanyak 350 biji," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Perak (IPK), di sini hari ini.

Menurutnya, semua tangkapan kini direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan penemuan bom berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan.

"Polis masih menyiasat tujuan suspek menyimpan bom berkenaan serta dari mana ia diperoleh selain mengesan saki baki sindiket pengedaran dadah yang dipercayai aktif sejak lebih dua bulan lalu," katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 12:17 PM