Annuar harap ada lebih berkemampuan julang kejayaan Kelantan. FOTO HM
Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi


Kota Bharu: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menerima tamparan hebat apabila presidennya, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden.

Dalam surat rasmi bertarikh hari ini yang disiarkan menerusi Facebook rasmi miliknya, Annuar menyatakan bahawa peletakan jawatan itu berkuat kuasa serta merta.

"Dengan hati yang berat, saya memaklumkan bahawa saya melepaskan jawatan sebagai presiden KAFA berkuat kuasa serta merta.

"Saya berharap tugas ini dapat dipikul oleh mereka yang lebih berkemampuan untuk mengangkat kecemerlangan bola sepak Kelantan seperti mana yang berjaya dilakukan oleh negeri lain," katanya menerusi surat itu.

Beliau yang juga digelar bapa pembangunan bola sepak Kelantan yakin bahawa pemergiannya itu mampu digantikan dengan orang lain yang lebih layak.

"Kita mampu mencapai apa yang orang lain capai asalkan anak Kelantan diberi peluang untuk berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden KAFA Datuk Rosmadi Ismail, ketika dihubungi berkata, beliau belum menemui Annuar untuk mendapatkan gambaran sebenar perletakkan jawatan itu.

"Saya tidak boleh mengulas lebih lanjut kerana tidak tahu mengenai perkara sebenar dan kita akan bertemu dengan Annuar dalam masa terdekat," ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 3:43 PM