Budak perempuan yang ditemui seorang diri oleh orang awam. - Foto Ihsan Pembaca
Mohd Rizal Abdullah


Miri: Wanita berusia 36 tahun ditahan selepas didapati cuai meninggalkan anak perempuannya seorang diri di Jalan Bulan Sabit, Miri, di sini, pagi tadi.

Kanak-kanak berusia dua tahun itu dilihat berjalan seorang diri pada 10 pagi sebelum orang ramai menghantarnya ke Balai Polis Pusat Miri.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Khoo Leng Huat berkata, ibu kanak-kanak itu kemudiannya datang ke Balai Polis Pusat Miri bagi menuntut anaknya.

Bagaimanapun, menurutnya menahan wanita itu kerana cuai serta terbabit dalam salah guna dadah.

"Ujian air kencing mendapati suri rumah itu positif dadah jenis amphetamine," katanya.

Kanak-kanak itu kini ditempatkan di rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri untuk sementara waktu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta Kanak-kanak 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 6:19 PM