PERLU amal diet seimbang, elak makanan pedas.


Keadaan Ezad Lazim yang popular menerusi lagu Demi Cinta mengalami masalah usus sejak Jun lalu dilaporkan semakin pulih.

Bagaimanapun, Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 37, berkata dia masih perlu mengamalkan diet seimbang dan mengelakkan makanan pedas.

“Alhamdulillah kesihatan saya semakin pulih, tetapi perlu mengawal pemakanan dan tidak boleh makan banyak dalam satu masa.

“Selain itu, makanan pedas juga perlu dielakkan kerana bimbang akan muntah dan perut jadi sakit,” katanya.

Mengakui kesakitan yang ditanggung selama ini mengganggu emosinya, Ezad semakin tabah meneruskan rutin hariannya selepas mendapatkan rawatan perubatan Islam.

“Sebelum ini, saya tidak pasti apa penyakit sebenar apabila sering muntah dan beberapa kali dimasukkan ke hospital.

“Ia sekali gus membuatkan emosi saya jadi tidak stabil kerana tertekan. Apa tidaknya, sebelum ini saya okey dan kuat sahaja, tetapi tiba-tiba penyakit ini menyerang hingga seluruh badan jadi lemah dan berat turun mendadak.

“Syukur selepas mendapatkan rawatan perubatan Islam bulan lalu, semangat saya semakin pulih,” katanya.

Harap Demi Cinta terpilih

Siapa sangka, selepas Bunkface menarik diri daripada menyertai pertandingan separuh akhir Muzik Muzik 31 tahun ini, kerusi itu digantikan dengan Ezad yang membawakan lagu Demi Cinta pada Jumaat minggu lalu.

Kata Ezad, dia bersyukur apabila lagu ciptaan Mohd Yasin dan lirik oleh Iman Imran itu berjaya mara ke peringkat separuh akhir.

Menurutnya lagi, sudah lama dia tidak beraksi di pentas berprestij itu dan apabila dimaklumkan pada saat-saat akhir, sudah tentu berasa teruja serta berharap Demi Cinta layak mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) yang dijadual berlangsung tahun depan.

“Saya tidak letak harapan tinggi untuk lagu ini terpilih ke AJL dan berusaha melakukan sehabis baik demi peminat serta penulis lirik.

“Lagipun sejak tampil solo, saya belum pernah mara ke separuh akhir Muzik Muzik. Saya anggap ini rezeki pemberian Allah. Doakan semoga lagu saya dapat masuk AJL,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 5:14 AM