WANITA Palestin berjalan melintasi kedai menjual kemeja-T dengan gambar Trump memakai topi Yahudi di sebelah baju dengan imej Presiden Barack Obama di Baitulmaqdis, semalam. - Reuters

Baitulmaqdis: Menteri Pelajaran Israel Naftali Bennett berkata, idea untuk mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka sudah berakhir dengan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Amerika Syarikat.

Dia menggesa isu itu yang menjadi asas rundingan damai sejak beberapa tahun lalu ditamatkan.

“Kemenangan Trump adalah peluang bagi Israel untuk serta-merta menghapuskan rancangan mewujudkan sebuah negara Palestin di tengah Israel yang akan menjejaskan keselamatan kita sekiranya terlaksana,” kata Bennet yang mengetuai parti Rumah Yahudi, merujuk kepada Tebing Barat yang dijajah Israel.

“Inilah pendirian bakal presiden Amerika Syarikat itu. Era negara Palestin sudah berakhir,” katanya.

Menteri Kehakiman, Ayelet Shaked yang juga dari parti pelampau Yahudi itu menggesa Trump menunaikan janji untuk memindahkan kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, langkah yang bertentangan dengan dasar pentadbiran sebelum ini, baik Republikan mahupun Demokrat.

Timbalan Menteri Luar, Benjamin Netanyahu dari Parti Likud yang diketuai Perdana Menteri Benjamin Netanyahu turut menggesa kedutaan itu dipindahkan.

Status Baitulmaqdis adalah antara isu paling rumit dalam konflik Israel-Palestin.

Rakyat Palestin melihat timur Baitulmaqdis sebagai ibu negara bakal negara Palestin sementara Israel mendakwa ia bandar raya mereka yang tidak boleh dibahagi-bahagikan.

Trump sebelum ini berikrar untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 7:41 AM