Pasangan kekasih diiringi pegawai SPRM selepas dijatuhi hukuman penjara setahun dan enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


Shah Alam: Pasangan kekasih masing-masing dijatuhi hukuman penjara setahun dan enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan menerima rasuah dengan menyamar sebagai anggota polis narkotik sejak hujung bulan lalu.

Hakim Asmadi Hussin memutuskan demikian selepas tertuduh, Norzamini Roslan, 26, dan Mohamad Emirul Rajap, 31, mengaku bersalah atas semua pertuduhan berasingan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan awal, Norzamini didakwa meminta wang RM14,000 daripada seorang wanita dengan menyamar dari Jabatan Narkotik Petaling Jaya untuk menurunkan jumlah berat ganja yang dihantar ke Jabatan Kimia dan menukarkan Sekyen kesalahan dadah di sekitar Tanjong Karang pada 10.30 malam, 31 Oktober lalu.

Bagi dua pertuduhan berikutnya, ibu tunggal itu secara rasuah menerima RM2,000 dan RM3,000 yang dimasukkan ke dalam satu akaun bank untuk tujuan sama di dua bank berasingan di sekitar Petaling Jaya, jam 8.08 malam dan 9.14 malam, 1 November lalu.

Manakala, Mohamad Emirul pula didakwa turut menerima rasuah RM1,000 dan RM3,000 menerusi akaun bank sama di dua bank berasingan di Sungai Buloh dan Petaling Jaya masing-masing pada jam 2 pagi dan 12 tengahari tarikh sama.

Berikutan itu, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Asnawi Abu Hanipah dan Mohammed Heikal Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selain hukuman penjara setahun ke atas Norzamini dan enam bulan terhadap Mohamad Emirul, Asmadi turut memerintahkan kedua-tertuduh masing-masing membayar denda RM95,000 dan RM25,000 bagi semua pertuduhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 2:09 PM