JOHAN Gerber. FOTO Aimie Pardas
CONTOH penggunaan pembayaran dalam talian bagi peranti bersambung Internet. FOTO MasterCard
Aimie Pardas


St Louis (Amerika Syarikat): Kepercayaan pengguna terhadap sistem pembayaran dalam talian bertambah penting dalam dunia Internet untuk Segalanya (IoT)

terutama apabila transaksi boleh dibuat secara automatik oleh peranti bersambung Internet.

Naib Presiden Eksekutif MasterCard bagi Produk Keselamatan dan Keputusan, Johan Gerber berkata, terdapat sembilan bilion peranti bersambung Internet pada

2016 dan jumlahnya dijangka meningkat kepada 30 bilion menjelang 2020.

"Jika pengguna tidak mempunyai sepenuh kepercayaan dalam sistem pembayaran ini, mereka mungkin tidak akan mencubanya langsung.

"Justeru, MasterCard memberi keutamaan kepada teknologinya dan percaya amanah penting dalam dunia IoT," katanya.

Antara teknologi yang digunakan MasterCard termasuk SafetyNet, siri MasterCard IQ dan 'Automatic Billing Updater' (ABU).

SafetyNet diperkenalkan tahun lalu dan menggunakan rangkaian MasterCard bagi mengurangkan impak serangan ke atas bank dan institusi kewangan dengan

mengenal pasti kelakuan luar biasa atau serangan sebelum ia dilakukan.

MasterCard IQ yang diperkenalkan awal tahun ini menggunakan risikan masa nyata bagi membolehkan bank dan institusi kewangan membuat keputusan lebih

bijak dalam mengekang penipuan.

Sementara itu, ABU dapat meneruskan pembayaran automatik yang berulang setiap bulan seperti bil langganan apabila kad kredit baru diberi kepada pengguna.

"Teknologi kini bukan sahaja untuk mengelak penipuan tetapi bagi mengukuhkan elemen keselamatan supaya dipercayai sepenuhnya oleh pengguna," katanya

kepada wartawan ketika lawatan ke pusat operasi dan data MasterCard di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 2:13 PM