Daun ketum yang ditemui. FOTO Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Daun ketum seberat kira-kira 10 kilogram (kg) ditemui dalam but teksi dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun yang melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Jalan Batu Berendam, di sini, malam semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, suspek memandu teksi Proton Wira dalam keadaan mencurigakan apabila menghampiri sekatan.

Suspek tiba-tiba mengubah haluan masuk ke Taman Sutera Belia, sebelum kereta dipandunya berhenti kerana jalan mati di Jalan Sutera 1, sebelum ditahan.

Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, lelaki berasal dari Kelantan itu memandu teksi terbabit bersama seorang penumpang.

"Polis hanya berjaya menahan pemandu teksi tebabit manakala rakan mangsa berjaya meloloskan diri. Hasil penahanan lelaki terbabit, kita menemui terdapat beberapa bungkus plastik kecil dan karung plastik sampah berisi daun ketum, dalam bonet kereta terbabit.

Bagaimanapun, ujian air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine, dan susopek juga mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk membabitkan kesalahan dadah," kata Shaikh Abdul Adzis ketika dihubungi.

Beliau berkata, suspek akan direman mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 3:22 PM