Seoul: AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang murah terkemuka dunia dijangka memperkenalkan laluan perjalanan jarak jauhnya iaitu ke Hawaii tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, idea untuk memulakan laluan penerbangan ke Hawaii adalah hasil emel yang diterima daripada seorang kakitangan yang mengatakan dia mengimpikan untuk terbang ke sana.

Tony berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelantikan bekas pemain bola sepak Manchester United (MU) dan Queens Park Rangers Park Ji Sung sebagai duta jenama global AirAsia di Seoul di sini, baru-baru ini.

“Kemudian saya terfikir mengapa tidak direalisasikan saja impian berkenaan kerana AirAsia memang mampu melakukannya.

“Saya membuat beberapa perbincangan dengan pihak berkaitan di dalam AirAsia dan kami terus bergerak ke depan untuk merealisasikannya,”katanya.

Bagaimanapun, ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana kami perlu berhubung dengan pihak lain bagi proses mendapatkan kelulusan dan pelbagai faktor berkaitan lain,” katanya.

Menurut Tony, ramai yang bertanya berkaitan bila laluan ke Hawaii akan dibuka selain London, United Kingdom (UK).

Katanya, dia juga teruja dengan perkembangan itu namun AirAsia perlukan masa bagi memastikan semua proses berjalan lancar.

“Apa yang pasti, laluan ke Hawaii akan dilaksanakan dalam masa terdekat, mungkin tahun depan. Laluan London pula akan dimulakan selepas itu.

“Ketika ini, kami meramalkan pasaran untuk industri penerbangan dunia akan bertambah baik serta kukuh.

“Bagi AirAsia, prestasi kami juga akan meningkat dan antara puncanya ialah penurunan harga minyak di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 5:05 AM