BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang guru sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, terhadap pertuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap murid lelaki berusia 10 tahun.

Asman Ambo Sakka, 35, didakwa melakukan kesalahan itu dalam tandas guru di sebuah sekolah di sini pada 7 pagi, antara Julai hingga September 2016 mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Datin M Kunasundary membenarkan tertuduh yang berasal dari Sabah itu diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta beberapa syarat tambahan iaitu tidak boleh berhubung dengan mangsa dan keluarganya.

Tertuduh juga perlu melaporkan diri setiap sebulan sekali di balai polis berhampiran sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawawi Mohd Radzi tidak menawarkan jaminan namun berkata, jika mahkamah memberikan jaminan jumlahnya perlu melebihi RM10,000 serta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh menghampiri mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 4:41 PM