Khairul Nizam (tengah) disaksikan Suresh Kumar dari Pusat Khidmat Cameron Highlands PSM (tiga kiri) dan wakil NGO Royalti Malaysia, Hishamudin Ghazali (dua kanan) menyerahkan memorandum kepada Wan Roslan Wan Ahmad di perkarangan pintu pagar Kompleks Darulnaim, Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Sebanyak 25 badan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum kepada pejabat Menteri Besar Kelantan bagi menggesa kerajaan negeri membuat rundingan menyelesaikan masalah pemilikan tanah Orang Asli dan pembalakan di Hutan Simpan Gua Musang.

Pengerusi Parti Sosialis Malaysia Kelantan Khairul Nizam Abd Ghani berkata, rundingan itu perlu bagi mengelakkan pertumpahan darah ekoran penduduk Orang Asli kini membuat sekatan di pintu masuk kawasan pembalakan di daerah itu.

"Saya mewakili NGO mahu kerajaan negeri berunding dan turun ke kawasan itu untuk berjumpa dengan mereka (Orang Asli)," katanya dalam sidang media selepas menghantar memorandum kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat.

Akhbar sebelum ini melaporkan penduduk Orang Asli membuat sekatan sejak September lalu di Pos Simpor dan Pos Gob sebagai membantah aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal Kuala Balah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 5:18 PM