Khoo (dua,kanan) menunjukkan pasport yang ditemui di rumah suspek. FOTO Mohd Rizal Abdullah
Mohd Rizal Abdullah


Miri: Wanita berusia 38 tahun ditahan polis malam semalam kerana pecah amanah wang syarikat ladang sawit sebanyak RM312,840.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Khoo Leng Huat berkata, suspek ditahan dirumahnya di Bandar Baru Permyjaya pada jam 8.30 malam selepas menerima aduan daripada pengurus ladang.

Menurutnya, wang berkenaan sepatutnya digunakan untuk membuat pembayaran permit kerja bagi 390 pekerja ladang warga Indonesia di syarikat berkenaan.

"Suspek hanya membuat bayaran bagi sebahagian pasport, manakala wang selebihnya digunakan untuk kepentingan diri.

"Polis turut menemui sebanyak 278 pasport pekerja warga Indonesia di rumah suspek," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri hari ini.

Katanya, suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 6:15 PM