BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai dakwaan yang tersebar di media sosial kononnya ayam yang dijual di Econsave Jalan Reko, Kajang, tidak disembelih mengikut hukum syarak.

Jakim dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya bersama pegawai pemantauan Jabatan Agama Islam Selangor sudah membuat pemeriksaan di pasar raya itu dan mendapati keadaan ayam yang digambarkan seperti tidak disembelih itu sebenarnya kesan tindakan menarik kepala ayam.

"Ia menyebabkan kulit leher ayam itu tertarik panjang dan memperlihatkan seperti tiada proses penyembelihan berlaku.

"Produk ayam yang dijual di pasar raya itu dikenal pasti diambil dari dua pusat sembelihan yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah," menurut kenyataan itu.

Pengguna dinasihatkan berhati-hati memilih produk di pasaran serta memilih premis yang bersih bagi memastikan produk adalah halalan toyyiban.

Bagi mengetahui tempat penyembelihan yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia, pengguna boleh merujuk laman sesawang www.halal.gov.my atau melalui aplikasi telefon pintar MyJakim.

Aduan atau pertanyaan juga boleh berhubung terus melalui emel di pr_halal.islam@1govuc.gov.my dan talian 0388925000/1.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 7:48 PM