Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) menyasarkan untuk menyalurkan sebanyak RM20 juta menerusi Skim Mikro bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015.

Ketua Pemangku Naib Presiden Bahagian Pembangunan Perniagaan Konsumernya, [email protected] Tawil berkata, setakat ini terdapat sekitar 1,500 peminjam di bawah skim ini.

Katanya, pembiayaan minimum yang diberi bermula dari RM5,000 hingga RM50,000 untuk tempoh pembiayaan antara enam bulan hingga tujuh tahun.

“Skim Mikro ini disasarkan kepada tiga khalayak sasaran iaitu pesara kerajaan atau tentera berpencen, isteri pegawai kerajaan yang menjadi suri rumah sepenuh masa dan peneroka.

“Walaupun ini produk pembiayaan, namun ia juga ada kena-mengena dengan skim kewangan yang kebanyakannya sudah membantu masalah hutang pelanggan yang selama ini hanya berharap kepada satu sumber pendapatan saja,” katanya.

Menurutnya, sejak Skim Mikro diperkenalkan pada 2009, pihaknya menerima sambutan begitu mengalakkan daripada golongan sasaran kerana Bank Mualamat bukan sekadar menyalurkan pinjaman, tetapi juga mengajar dan memberi khidmat rundingan kewangan kepada pelanggan.

Awang berkata, Skim Mikro ini juga unik kerana ia tidak memfokus kepada usahawan mikro seperti penjaja berikutan sudah banyak institusi kewangan dan agensi yang menawarkan pembiayaan terhadap golongan terbabit.

“Bank Muamalat memberi peluang kepada sasaran pelanggan ini disebabkan kami memberi kelonggaran kepada mereka iaitu dari segi perniagaan yang mana ia tidak terhad kepada mereka yang menjual saja tetapi juga kepada golongan penternak dan petani.

“Keunikan skim ini ia memfokus pada pasaran yang tercicir daripada ruang lingkup mikro itu sendiri. Malah, yang menariknya akaun tidak berbayar (NPL) bagi skim ini adalah rendah dari 2.0 peratus,” katanya.

Beliau berkata, selepas memberi pinjaman, Bank Muamalat akan sentiasa berhubung dengan peminjam untuk memberi perkhidmatan pengurusan wang dan memastikan mereka keluar daripada beban hutang.

Katanya, Bank Muamalat menawarkan kadar faedah pinjaman yang berpatutan iaitu sebanyak 3.75 peratus setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 5:05 AM