Najiy Jefri


Segamat: Bagi mendekati pengikut setia drama sedang hangat ditayangkan di TV3 dan TV9, sembilan artis popular tanah air menjayakan siri jelajah Bas Drama Sangat edisi terakhir 2016 bermula hari ini hingga Ahad di Johor dan Melaka.

Mereka ialah Shukri Yahaya, Siti Saleha, Emma Maembong, Nazrief Nazri, Aishah Ilias, Zahiril Adzim Sura Sojangi, Amar Asyraf dan Lufya.

Kesemua selebriti berpeluang mempromosikan drama lakonan mereka yang menghiasi slot popular di kedua-dua saluran seperti Akasia, Dahlia, Samarinda dan Azalea.

Antara drama itu adalah Umairah, Nasi Minyak Kuah Cinta, 7 Hari Mencintaiku dan Ainur Mardhiyah.

Shukri Yahaya yang ditemui Harian Metro hari ini memberitahu siri jelajah ini dapat mendekatkan lagi dirinya dengan peminat selain berpeluang mempromosikan drama lakonannya bersama Siti Saleha.

"Ini pengalaman pertama saya mengikuti siri jelajah Bas Drama Sangat.

"Seronok dapat menyertai rombongan ini kerana dapat lebih mengenali rakan selebriti dan ambil bahagian dalam permainan yang disediakan dalam bas.

"Selain itu, acara ini adalah langkah terbaik bagi setiap selebriti mempromosikan drama masing-masing di samping dapat bertentang mata dan beramah mesra dengan peminat di luar bandar," kata pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu.

Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Sherina Nordin berkata, siri jelajah itu diadakan bagi menghargai masyarakat yang tidak jemu menyokongan drama yang ditayangkan di dua saluran terbabit.

"Kami amat berbangga dapat memberi peluang kepada penonton setia TV3 dan TV9 untuk bertemu artis pujaan mereka secara eksklusif," katanya.

Lokasi persinggahan pertama Jelajah Bas Drama Sangat bermula di Dataran Segamat, Johor, hari ini mulai jam 4 petang.

Di sana, artis akan beramah mesra dengan peminat manakala pada sebelah malam pula pengunjung dapat menyertai aktiviti Santai Drama Sangat. Mereka juga berpeluang menonton sedutan di belakang tabir pembikinan drama.

Pada hari kedua, jelajah bas akan ke Pacific Bowling, Batu Pahat Mall bagi acara Perlawanan Boling Drama Sangat seterusnya ke Kluang Mall, Johor.

Usai sesi ramah mesra bersama pengunjung di Kluang Mall, rombongan akan ke Melaka pula untuk untuk meneruskan aktiviti di River Cruise Melaka.

Hari terakhir jelajah, rombongan Bas Drama Sangat akan berkampung di Dataran Pantai Puteri, Melaka bagi sesi Senam Gaya Drama Sangat. Seterusnya pada sebelah petang pula, bas Drama Sangat akan berkunjung ke Mahkota Parade Mall sebelum bertolak pulang ke Sri Pentas.

Perkembangan dari semasa ke semasa Jelajah Bas Drama Sangat boleh diakses menerusi laman sosial TV3 dan TV9 iaitu @TV3Malaysia & @TV9Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 9:09 PM