Akim The Majistret menyampaikan lagu Obses. FOTO HMHASRIYASYAH SABUDIN.
Akim The Majistret menyampaikan lagu Obses. FOTO HMHASRIYASYAH SABUDIN.
Sudirman Mohd Tahir


Shah Alam: Sebanyak 12 lagu popular menepati ramalan ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke 31 (AJL) selepas selesai peringkat Separuh Akhir Kedua Muzik Muzik 31 yang berlangsung malam ini.

Antara lagu yang tersenarai adalah Lelaki Teragung (Dayang Nurfaizah), Terakhir (Sufian Suhaimi), Sudah Ku Tahu (Projector Band), Selamanya Cinta (Alif Satar & Shila Amzah), Terimaku Seadanya (Misha Omar & Hafiz Suip) dan Ku Rela Dibenci (Aiman Tino).

Turut menempa tiket ke peringkat akhir adalah lagu Di Amaran Mama (Hazama), Obses (Akim & The Majistret), Setia (Elizabeth Tan & Awi Rafael), Kalah Dalam Menang (Mawi & Syamsul Yusof), Hang Pi Mana (Khalifah) dan Anugerah Terindah (Black).

Peringkat separuh akhir itu menampilkan juri profesional yang diketuai Datuk Ramli MS selaku ketua juri, AG Coco, Habsah Hassan, Yasin Sulaiman, Azlan Abu Hassan, Edrie Hashim, Johan Nawawi dan Azlan Typewriter.

Pada malam ini juga, penyanyi Amelina, Haiza dan Sarah Fazny turut membuat persembahan selingan menerusi lagu Dag Dig Dug dan Rindu yang bertemakan Dangdut Keroncong.

Separuh Akhir Muzik Muzik 31 menampilkan pasangan pengacara Fara Fauzana dan Fizi Hot FM dan disiarkan secara langsung di TV3.

Terdahulu 30 lagu yang layak ke peringkat separuh akhir diperkenalkan menerusi Showcase Muzik Muzik sejak Mac lalu.

Angerah Juara Lagu 31 (AJL) bakal berlangsung pada 22 Januari 2017 di PWTC, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 11:33 PM