SUT tanpa lengan sesuai dipadadankan dengan seluar slack pendek.
PEMAKAI tetap kelihatan maskulin dengan sut tanpa lengan.
SUT tanpa lengan sesuai untuk mereka yang gemarkan gaya kasual.
ALFIAN di pentas peragaan Malaysia Fashion Week.
ALFIAN.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Panas! Itu antara alasan klise mengapa kebanyakan individu termasuk remaja kurang gemar memakai sut.

Faktor cuaca mungkin menjadi antara penyebab utamanya tetapi pakaian itu sebenarnya boleh digayakan semua peringkat umur dengan syarat pemakai bijak memilih material sesuai.

Untuk kelihatan kasual, pemakai tidak semestinya perlu memilih sut berlengan panjang sebaliknya boleh memilih rekaan terkini lain contohnya yang tidak berlengan.

Apa yang penting, pemakai yakin dan tahu menyuai padan sut itu mengikut personaliti mereka dan kesesuaian acara.

Bercerita mengenai sut , penulis berkesempatan menemu bual pereka fesyen merangkap pengasas Alfian Tailors, Hafeez Alfian Rahmat, 22, sempena program Malaysia Fashion Week 2016, baru-baru ini.

Baginya, masih ada remaja berminat menggayakan pakaian itu cuma tidak yakin dan masih dengan stigma yang pakaian berkenaan hanya sesuai untuk golongan korporat.

“Mereka fikir sut perlu digayakan mengikut protokol sedangkan ada saja rekaan yang sesuai untuk ke acara kasual.

“Malah, saya sendiri mengeluarkan rekaan sut kasual tidak berlengan kerana mahu menarik golongan muda untuk menggayakan pakaian itu.

“Fabrik polyester pula digunakan bagi memastikan pemakai selesa dan untuk menyesuaikannya dengan keadaan cuaca di negara ini,” katanya.

Alfian berkata, sut tidak berlengan sesuai dipadankan dengan kemeja-T tanpa kolar di bahagian dalam dan seluar slack jenis tiga suku.

Katanya, padanan seluar denim panjang jenis ‘skinny’ juga sesuai dan ia bergantung kepada keselesaan pemakai.

“Padanan sut tanpa lengan bersama kemeja-T tidak berkolar dan seluar slack atau denim tiga suku melengkapkan gaya pemakai.

“Bukan saja ke acara kasual, malah mereka boleh menggayakan pakaian itu jika keluar bersantai dengan rakan di pusat beli-belah dan tempat lain yang sesuai.

“Kasut pula terpulang kepada pemakai samada mahu menyarung jenis oxford ataupun sniker,” kataya.

Alfian berkata, walaupun harga sut di pasaran mencecah antara ratusan hingga ribuan ringgit, pemakai tidak akan rugi kerana pakaian itu boleh dipakai untuk jangka masa panjang.

Pelaburan itu juga berbaloi terutama bagi mereka yang mementingkan kekemasan memandangkan ia agak mahal jika disewa di kedai.

“Sut tanpa lengan saya dijual dengan harga RM300 dan ia boleh dipakai oleh mereka yang berumur antara 20 tahun ke atas.

“Walaupun jarang dipakai, pakaian itu antara koleksi wajib yang perlu ada dalam almari ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 5:01 AM