MUHAMMAD Firhan Ashari (kiri) cuba melepasi pertahanan Pakistan pada Sukan Asia di Incheon.
MUHAMMAD Firhan Ashari (kiri) cuba melepasi pertahanan Pakistan pada Sukan Asia di Incheon.

Kuala Lumpur: Buat kali pertama ketua jurulatih sementara skuad hoki negara Tai Beng Hai akan dapat mengumpul senarai 25 pelatih hari ini menjelang saingan pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Singapura bermula 17 hingga 25 Januari depan dalam laluan untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil.

Beng Hai hanya dapat mengumpul semua pemain selepas saingan liga berakhir minggu lalu sekali gus menyaksikan beliau mempunyai tempoh kira-kira tiga minggu untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Liga Hoki Dunia.

Bagaimanapun Beng Hai tidak menganggap ia menjadi masalah besar kepadanya kerana rata-rata barisan 25 pelatih yang dipilihnya adalah muka lama yang pernah membarisi skuad negara.

“Sebenarnya lima daripada 25 pemain sudah turun menjalani latihan bermula Selasa lalu dan saya beri ruang kepada baki pemain lain yang beraksi pada separuh akhir serta final Piala TNB untuk mula turun menjalani latihan esok (hari ini).

“Saya akan gunakan tempoh dua hari pertama menguji tahap kecergasan pemain di ISN (Institut Sukan Negara) sebelum turun berlatih di padang pada Rabu.

“Hampir kesemua pemain yang dipanggil pernah beraksi bersama skuad negara dan saya fikir tidak timbul masalah. Mereka hanya perlu mencari persefahaman kembali,” katanya.

Untuk menghadapi saingan berkenaan, skuad negara akan turun pada tiga perlawanan persahabatan iaitu bertemu Poland pada 4 serta 6 Januari dan Bangladesh dua hari selepas itu.

Skuad negara diundi bersama Ukraine, Oman dan Fiji dalam Kumpulan A manakala Singapura diletakkan bersama Poland, Jepun dan Bangladesh dalam Kumpulan B.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 7:18 AM