V SHEM (kiri) dan Wee Kiong dicabar supaya meneruskan aksi cemerlang.
V SHEM (kiri) dan Wee Kiong dicabar supaya meneruskan aksi cemerlang.
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melontarkan cabaran kepada pasangan lelaki negara Goh V Shem-Tan Wei Kiong yang bergelar beregu nombor satu dunia, supaya terus konsisten susulan ranjau lebih berliku menanti mereka selepas ini.

Timbalan BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pemenang perak temasya Olimpik itu perlu konsisten untuk jangka panjang supaya dapat mengekalkan kedudukan teratas ranking dunia.

“Mereka perlu kekalkan momentum dengan memastikan tahap fizikal dan mental berada pada tahap terbaik supaya gelaran nombor satu itu dapat dipertahankan untuk tempoh lama.

“Cabaran mereka selepas ini pasti lebih mencabar, bermula dengan Terbuka China selain perlu bersedia untuk di Terbuka Hong Kong dan Siri Super Final di Dubai,” katanya.

Begitupun Norza yakin kedua-dua pemain itu sedar apa yang perlu dilakukan sebagai persediaan menjelang pertarungan lebih sengit nanti.

Kelmarin, V Shem-Wei Kiong melonjak ke kedudukan ranking nombor satu dunia selepas badan induk Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengemaskini kedudukan ranking berikutan persaraan pasangan Korea Selatan Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong.

Pemenang perak Olimpik Rio itu mengumpul 71,297 mata, manakala di tangga kedua ialah pasangan China Chai Biao-Hong Wei (70,220) dan Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark, ketiga (67,534).

Kali terakhir beregu lelaki negara menghuni tangga teratas ranking dunia ialah Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 5:35 AM