TAMPIL menarik dengan warna merah karnival.
ENJIN 1.5L i-VTEC.
BOLEH memuatkan basikal dan penumpang.
SISTEM audio dengan skrin sentuh.
RODA stereng balutan kulit.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Walaupun bersaiz kompak, namun ruang dalaman pelbagai gunanya menjadikan Honda Jazz pilihan warga urban menjalani aktiviti harian terutama bagi golongan eksekutif dan keluarga muda.

Sesuai dan pantas ketika dipandu di dalam bandar, model itu kini hadir dengan warna baharu iaitu merah karnival yang menyerlahkan lagi gaya dan sesuai digunakan bagi aktiviti rekreasi termasuk empat konfigurasi duduk yang boleh membawa muatan.

Menggunakan Mod Utiliti membolehkan anda menjatuhkan kerusi belakang untuk memuatkan sebuah basikal atau barangan besar manakala Tall Mode dengan melipat tempat duduk belakang bagi membawa barangan tinggi seperti pasu bunga atau perabot.

Selain itu ia boleh dijadikan Long Mode apabila menjatuhkan kerusi penumpang hadapan yang mampu memuatkan papar luncur dan barangan lain serta Refresh Mode yang membolehkan kedua-dua kerusi hadapan dijatuhkan untuk anda berehat dengan selesa untuk dua orang.

Bagi kemudahan penumpang, ia dilengkapi dengan 9 tempat meletak cawan, ruang simpanan barangan, konsol tengah untuk lengan dan ruang menyimpan serta kemudahan sambungan USB dan HDMI untuk mengecaj telefon atau alatan elektronik yang lain.

Mula diperkenalkan di pasaran tempatan sekitar 2003, selain ciri sporty, kenderaan ini juga menawarkan penggunaan petrol dan tenaga yang efisien dengan enjin 1.5 liter i-VTEC serta kotak gear transmisi boleh ubah berterusan (CVT) menawarkan keseimbangan kuasa pemanduan.

Selain itu Jazz juga dilengkapi dengan ciri keselamatan teknologi G-Con seperti enam beg udara termasuk dua SRS di hadapan, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Isyarat Henti Kecemasan (ESS), Bantu Mula Bukit (HSA), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), radius pusingan minimum terutama ketika pusingan U, tali pinggang keledar 3-titik dengan pre-tension dan tahap muatan serta ISOfix untuk kerusi bayi.

Bagi menambah ciri sporty, Jazz dilengkapi pakej aksesori Modulo seperti rekaan gril bampar hadapan, spoiler sisi dan belakang termasuk ciri dalaman menarik seperti pencahayaan pada ruang kaki, trunk tray, pedal sport, visor pintu, dan side step dengan pencahayaan tulisan Jazz menjadikan keseluruhan kenderaan lebih bergaya.

Antara ciri menarik lain lampu hadapan halogen, lampu kabus, rim aloi 16 inci, lampu belakang LED dan elemen krom pada pintu belakang, serta lampu brek ketiga bergaya menjadikan ia tampil menyerlah.

Paparan sistem audio 7 inci skrin sesentuh bersama pelbagai fungsi termasuk menghubungkan telefon pintar serta Bluetooth untuk kemudahan panggilan telefon membuatkan perjalanan anda lebih selesa dengan suis bebas tangan yang ada pada roda stereng balutan kulit menjadikan ia lebih elegan.

Sistem kemasukan pintar dengan punat tekan mula menjadikan Jazz dapat dihidupkan dengan mudah dan meter LCD kluster bagi anda memantau odometer, penggunaan petrol dan maklumat berkaitan perjalanan yang lain dengan lebih baik.

Secara keseluruhan Honda Jazz bukan sahaja menawarkan ciri praktikal malah menjadikan pemanduan anda lebih bergaya dengan elemen Modulo menjadikan ia bukan sekadar sporty malah dilengkapi enjin lancar serta penggunaan bahan api yang efisien.

Tiga varian ditawarkan bermula pada RM73,800 (S), RM81,000 (E) dan RM89,400 (V) (harga atas jalan termasuk insurans) dengan pakej Modulo bermula pada harga RM3,900 tidak termasuk GST.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2016 @ 5:02 AM