Amirul Haswendy Ashari


Vokalis FT Island, Lee Hong Ki, 26, dan aktres jelita, Han Bo Reum, 29, mengesahkan mereka sebenarnya sedang bercinta.

Pada 9 November lalu, sumber FNC Enterainment mengatakan Hong Ki mengesahkan hubungan terjalin selepas ditanya dengan penyanyi itu.

Malah sumber agensi mewakili Bo Reum, KeyEast Entertainment turut mengesahkan pelakon itu mempunyai hubungan istimewa dengan Hong Ki.

Sebelum ini, mereka pernah digosipkan bercinta sekitar Ogos tetapi menafikannya dan mendakwa hanya berkawan baik.

Sumber daripada agensi mendedahkan pasangan itu memang bermula sebagai kawan baik pada waktu itu tetapi akhir-akhir ini semakin rapat selepas dilihat sering melakukan aktiviti yang diminati iaitu boling.

Sebelum ini, Hong Ki dikaitkan dengan aktres Park Shin Hye dan didedahkan oleh pelakon drama The Heir.

Katanya, hubungan cinta mereka terjalin selepas menjadi tetamu undangan program Kiss The Radio.

Dalam program itu, Hong Ki menjadi pengacara jemputan mengundang Shin Hye sebagai tetamu undangan.

Bagaimanapun, Hong Ki menafikannya. Dia akui sangat rapat dengan Shin Hye dan bertanya kalau dia sudi menjadi tetamu program Kiss The Radio.

“Saya katakan saya DJ program itu dan mengajaknya datang melawat saya. Shin Hye tanya bila saya mahu dia datang. Dia akhirnya bersetuju untuk muncul pada episod pertama.

“Saya rasa terharu dan mengirim lori makanan ke set dramanya sebagai tanda penghargaan,” katanya.

Pada program itu, Hong Ki memperkenalkan Shin Hye sebagai aktres jelita kelahiran Korea Selatan tapi baginya, dia seorang gadis yang juga rakan baiknya.

Pasangan sahabat itu langsung tidak berselindung sepanjang bersiaran malah sempat bergurau seperti pasangan adik-beradik.

Kata Shin Hye, apabila Hong Ki teruja dia selalunya suka salah cakap dan suaranya akan jadi besar.

“Kadangkala dia kelihatan mengganggu tapi dia seorang sahabat yang sering memberi tenaga buat kami. Tolong tengok-tengokkan Hong Ki kami sepanjang bersiaran nanti ya,” katanya sambil ketawa.

Hong Ki menggantikan Leeteuk daripada Super Junior sebagai DJ untuk program itu. Dalam kenyataan dikeluarkan KBS, Hong Ki dinamakan sebagai DJ jemputan baru Kiss The Radio dan jawatan itu akan kosong selama dua minggu.

Dalam tempoh itu, mereka menggunakan sepenuhnya sistem DJ jemputan.

Pada perkembangan lain, FT Island akan kembali ke Asia Tenggara selepas tiga tahun. Mereka dalam siri jelajah album The Truth akan singgah ke negara jiran, Singapura pada 11 Februari 2017.

Sama ada FT Island akan singgah ke Kuala Lumpur bagi melengkapkan siri jelajah Asia atau tidak, nantikan saja perkembangan terbaru daripada mereka dari semasa ke semasa.

Album studio penuh yang juga keenam mereka, Where’s The Truth dilancarkan Julai lalu dan berjaya menduduki tempat kelima dalam carta Album Dunia Billboard. Ia juga menjadi album Kpop paling laris dijual pada minggu pertama dilancarkan.

Sejak muncul pada 2007, FT Island menang banyak anugerah antaranya Golden Disk, Muzik Asia Mnet dan Muzik Seoul.

Mereka juga baru saja dianugerahkan Band Asia Paling Popular di Anugerah Festival Muzik Asia Cool di Beijing, China.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2016 @ 5:04 AM