SEBAHAGIAN peserta larian kategori pelajar sekolah memulakan larian.
SEBAHAGIAN peserta larian kategori pelajar sekolah memulakan larian.
PELARI antarabangsa turut menyertai Bandar Seri Putra Charity Run 2016 yang julung kali dianjurkan.
PELARI antarabangsa turut menyertai Bandar Seri Putra Charity Run 2016 yang julung kali dianjurkan.
KEMBAR Muhammad Najwan Najib, dan Muhammad Naufal Wafiq, 12, mencabar diri menamatkan larian.
KEMBAR Muhammad Najwan Najib, dan Muhammad Naufal Wafiq, 12, mencabar diri menamatkan larian.
SAHABAT tiga serangkai, Hasnorainie Abdullah (kiri), Salnita Mat Saat (tengah) dan Rafnaz Zirah ceria mendapat pingat.
SAHABAT tiga serangkai, Hasnorainie Abdullah (kiri), Salnita Mat Saat (tengah) dan Rafnaz Zirah ceria mendapat pingat.
PEMENANG dan penganjur mengabadikan kenangan sebaik selesai majlis penyampaian hadiah.
PEMENANG dan penganjur mengabadikan kenangan sebaik selesai majlis penyampaian hadiah.
Nurul Husna Mahmud & Mohd Husni Mohd Noor


Tidak mahu ketinggalan dengan ‘trend’ masa kini menjadikan acara larian sebagai gaya hidup sihat antara dorongan kepada penganjuran program amal Larian Bandar Seri Putra Charity Run 2016 baru-baru ini.

Menariknya, penduduk setempat bukan saja dapat mengisi hujung minggu dengan aktiviti manfaat bersama keluarga malah menyumbang kepada kutipan dana bagi tujuan kebajikan sekolah.

Penganjur acara terdiri daripada Persatuan Kembara Negara (PKN) bersama masyarakat setempat iaitu warga Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Seri Putra, Bangi turut disokong barisan sukarelawan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) yang menyaksikan dana terkumpul lebih RM50,000 dalam bentuk tajaan dan wang tunai.

Sokongan komuniti setempat

Pengarah Program, Shahrul Azuan Shahruddin berkata, biarpun pada awalnya gementar dengan respons orang ramai apabila jumlah pelari diterima kurang memberangsangkan di awal sesi pendaftaran dibuka.

Katanya, dua bulan sebelum program berlangsung mereka menerima penyertaan menggalakkan sehingga 900 pelari mengambil bahagian dalam tiga kategori.

“Sebagai penganjur tentu puas hati apabila melihat ratusan pelari teruja dengan laluan serta jarak yang kami sediakan.

“Kehadiran pelari antarabangsa antaranya Kenya, Britain serta New Zealand bagi kategori 12 kilometer termasuk kelibat pelari maraton kebangsaan, Edan Shah antara mencuri tumpuan dalam program terbabit.

“Kami beruntung apabila disokong pengendali teknikal oleh rakan penganjur PKN. Mereka banyak memberi pendedahan mengenai standard prosedur operasi terutama keselamatan sepanjang perlumbaan.

“Sokongan guru dan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut menjadi penguat ditambah kehadiran penaja menjadikan program ini berlangsung dengan jayanya,” katanya berharap larian ini dapat menjadi agenda tahunan.

Mencapai objektif

Naib Yang Dipertua PIBG SK Bandar Seri Putra, Azhar Hussin berkata penganjuran larian antara kaedah terbaik mendorong penduduk sekitar memberi sokongan kepada program kutipan dana di samping mengeratkan hubungan mereka.

“Ini satu program baik kerana semangat kejiranan dapat dipupuk dalam setiap peserta yang terdiri dalam kalangan penduduk Bandar Seri Putra itu sendiri.

“Selain larian peserta turut melakukan senamrobik bersama selain berpeluang memenangi cabutan bertuah dan melawat pameran jualan daripada penaja larian amal itu.

“Paling utama objektif penganjur iaitu dana diterima menerusi acara ini dapat digunakan bagi program tuisyen murid dan pelbagai aktiviti lain membabitkan kerjasama pihak sekolah dan komuniti setempat,” katanya.

Program itu diserikan dengan kehadiran wakil penaja daripada Harian Metro, Bank Simpanan Nasional (BSN) Bandar Seri Putra, Bangi Heights Developments Sdn Bhd, Laila Kamilia Active House, Kaizerbiz, Garnier Malaysia, McDonald’s Bandar Seri Putra, Bangi Wonderland, Mamee Malaysia, Baba Nilai, Sengjaya Marketing Sdn Bhd, Milo serta rangkaian radio Media Prima Bhd iaitu Hot FM, Fly FM dan Kool FM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2016 @ 5:05 AM